Kertas Putih Felda dibentang secepat mungkin

Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang mencari tarikh yang sesuai untuk membentangkan Kertas Putih Felda yang dijangka mendedahkan kecurangan serius kewangan agensi itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentangan Kertas Putih Felda akan dibentangkan selepas selesai perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kita sedang berbincang dengan pengurusan Parlimen, harapnya dapat dibentangkan segera. Selepas selesai bahas titah Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: Perdana Menteri dengar taklimat hala tuju, kewangan Felda

"Lepas itu kita cari satu tarikh sesuai untuk bentangkan Kertas Putih Felda yang ditangguhkan sebelum ini, selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara pada sesi Dewan Rakyat tahun lalu," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, laporan menyebut tiga isu utama yang menyebabkan Felda menanggung hutang dan kerugian tinggi dijangka dibangkitkan melalui Kertas Putih Felda.

Ia meliputi kegagalan tadbir urus serius oleh pengurusan terdahulu, kemerosotan mendadak kedudukan tunai dan isu membelenggu peneroka.

Penstrukturan semula pinjaman Felda dan anak syarikatnya juga menjadi satu daripada hala tuju strategik pemulihan agensi itu yang diberi tumpuan dalam laporan interim Kertas Putih.

Selain itu, turut dijangka disebut ialah kegagalan Felda mengurus keuntungan hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd atau kini FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2012, sehingga terpaksa menanggung hutang besar dengan institusi kewangan.

Selain itu, Kertas Putih Felda juga dijangka menyentuh perbelanjaan tinggi berkaitan peneroka disebabkan campur tangan politik sehingga menjejaskan aliran tunai Felda.