Statistik perkahwinan menurun tahun 2020

Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 menurun kepada 9.4 peratus kepada 184,589 daripada 203,661 pada 2019. - Gambar hiasan
Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 menurun kepada 9.4 peratus kepada 184,589 daripada 203,661 pada 2019. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 menurun kepada 9.4 peratus kepada 184,589 daripada 203,661 pada 2019 menurut Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2021, yang dikeluarkan pada Khamis.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi kenyataan pada Jumaat susulan penerbitan laporan itu berkata, penurunan angka perkahwinan pada 2020 adalah disumbangkan oleh penurunan 1.8 peratus bilangan perkahwinan Muslim, iaitu 145,202 berbanding 147,847 pada 2019.

Menurut beliau, bilangan perkahwinan bukan Muslim turut menurun daripada 55,814 pada 2019 kepada 39,387 pada 2020.

"Purata umur bagi pengantin wanita menurun daripada 27 tahun pada 2019 kepada 26 tahun pada 2020 manakala purata umur pengantin lelaki kekal pada 28 tahun," katanya.

Mohd Uzir berkata, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi impak pada statistik perkahwinan di Malaysia.

Statistik tersebut menunjukkan bahawa semasa penguatkuasaan PKP, bilangan perkahwinan menurun secara signifikan iaitu sebanyak 88 peratus pada April 2020, yakni daripada 14,056 pada 2019 kepada 1,694 pada April 2020.

Mohd Uzir memberitahu, bilangan perceraian pada 2020 adalah 45,754, sekali gus menunjukkan trend penurunan berbanding 56,624 pada 2019.

“Bilangan tertinggi perceraian melibatkan kumpulan umur 30-34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan pengantin wanita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejajar dengan penurunan bilangan perceraian, kadar perceraian umum bagi lelaki menurun daripada 7.2 ke 5.8 per 1,000 populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan ke atas.

Trend yang sama dilaporkan bagi wanita, iaitu penurunan daripada 7.7 kepada 6.1 per 1,000 populasi wanita berkahwin berusia16 tahun dan ke atas. - Bernama