Covid-19: Kluster baharu muncul di Kedah

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

ALOR SETAR- Kluster Dah Pelangi menjadi kluster terbaharu Covid-19 yang dikesan di Kedah melibatkan sebuah sekolah berasrama iaitu Maktab Mahmud Sik, Taman Pelangi Jaya, Sik.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sehingga kini, sebanyak 24 kes telah dikesan dalam kluster tersebut melibatkan pelajar lelaki sekolah itu.

Dr Mohd Hayati menjelaskan, kes kluster institusi pendidikan itu dikesan setelah beberapa pelajar didapati mengalami gejala bermula pada Ahad lepas.

"Kemudiannya, pihak pengurusan sekolah telah melakukan saringan bersasar kepada pelajar-pelajar dan kes-kes mula didaftarkan positif pada Jumaat.

"Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster ini dengan 24 kes dikesan positif Covid-19, 14 adalah negatif dan tiada sampel menunggu keputusan setakat ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, punca penularan jangkitan masih dalam siasatan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Sik.

Tambah beliau, pihak Pejabat Kesihatan Daerah juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian kepada kes-kes positif manakala kesemua kontak rapat yang dikenal pasti pula diarahkan menjalani kuarantin.

"Selain itu, notis penutupan sekolah juga telah diberikan bermula Jumaat sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menyeru orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan JKN Kedah menasihatkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang tidak beroperasi selama tiga hari bermula Jumaat selepas tiga gurunya disahkan positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kedah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang risiko kehadiran varian yang lebih kuat walaupun Kedah masih lagi bebas daripada varian Omicron sehingga hari ini.

Dr Mohd Hayati menambah, kerajaan negeri juga bersedia untuk menerima pelancong asing sempena Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi bermula Jumaat.