KPDNHEP Melaka nafi kartel kawal harga sayur

Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem (kanan) dan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (tengah) meninjau harga ayam ketika melawat ke sebuah pasar raya pada Jumaat. - Foto Bernama
Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem (kanan) dan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (tengah) meninjau harga ayam ketika melawat ke sebuah pasar raya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menafikan terdapat pembabitan kartel yang mengawal harga sayur-sayuran sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, sebaliknya harga sayur-sayuran di negeri itu bergantung kepada kuantiti yang diperoleh peniaga kebanyakannya daripada pembekal di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang selain Cameron Highlands dan petani tempatan di negeri itu.

"Setakat ini di Melaka memang tiada pembabitan kartel seperti yang didakwa berlaku di pasar lain di luar negeri ini dan kenaikan harga sayur-sayuran adalah disebabkan faktor lain seperti kekurangan bekalan serta cuaca.

"Harga jualan sayur-sayuran di Melaka bergantung kepada berapa banyak bekalan yang dibeli peniaga dan kos pengangkutan," katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini berkaitan dakwaan Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid bahawa semua pasar di seluruh negara mempunyai harga kartel sendiri yang telah ditetapkan mengikut kawasan tersebut.

Turut serta pada tinjauan berkenaan ialah Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Norena berkata, bekalan sayur-sayuran di Melaka dijangka akan mengalami gangguan dalam tempoh beberapa hari ini kerana terputus bekalan daripada pembekal di Cameron Highlands ekoran kejadian tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.

Beliau berkata situasi itu juga dikhuatiri akan menyebabkan berlaku peningkatan harga jualan sayur-sayuran di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun berdasarkan pemantauan yang dijalankan di pasar, pasar raya dan kedai runcit mendapati harga sayur-sayuran yang dijual masih berpatutan dan rendah berbanding negeri lain seperti di Kuala Lumpur dan ia turut dipengaruhi oleh kos sara hidup yang rendah," katanya. - Bernama