Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 135 orang

Keadaan banjir di Setiu.
Keadaan banjir di Setiu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Keadaan banjir di Terengganu bertambah serius dengan lebih ramai mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak Rabu.

Sehingga jam 4 petang Jumaat, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu empat di Setiu dan satu di Kuala Nerus bagi menempatkan 135 mangsa berbanding 45 mangsa di tiga PPS pagi Jumaat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, banjir di beberapa kawasan di Setiu menjejaskan 111 mangsa membabitkan 39 keluarga manakala 24 mangsa di Kuala Nerus.

“Seramai 16 mangsa yang terjejas dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Bari Besar, lima mangsa di PPS Masjid Chalok Kedai manakala PPS Masjid Gong Terap pula menempatkan 48 mangsa.

“PPS Masjid Kampung Merbau Menyusut, Setiu mula diaktifkan pada jam 12.30 tengah hari dan seramai lapan keluarga melibatkan 42 mangsa kini ditempatkan di lokasi berkenaan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, keadaan banjir di Kuala Nerus tidak berubah dengan 24 mangsa masih berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap Jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu hingga 4 Disember.

MetMalaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, hujan lebat berterusan di Kelantan dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak malam Rabu menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di Terengganu menunjukkan peningkatan.

Berdasarkan laman web rasmi Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus menunjukkan paras air melepasi amaran.

Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu merekodkan bacaan 8.33 meter (m) berbanding paras amaran 7.70 m, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu mencatatkan 19.38 m (18.70m) manakala parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus pula 3.74 m (3.60 m).

Selain itu, lapan sungai dua di Besut, lima di Setiu dan masing-masing satu Hulu Terengganu dan Marang pula menunjukkan paras air melepasi tahap waspada.

Sungai tersebut ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Besut, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu.

Turut merekodkan bacaan melepas waspada adalah Empangan Tebat di Hulu Terengganu dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang.