Teknologi WTE tangani isu pelupusan sampah: Sze Han

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor pernah menerokai dua kaedah pelupusan sisa pepejal melalui syarikat swasta seperti projek loji 'Refuse Derived Fuel' (RDF) di Kajang pada tahun 2012.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati operasi loji RDF gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berikutan itu, beliau berkata, projek kedua pelupusan sisa pepejal dikenali sebagai Konsep Pembangunan Industri Sumber Hijau dilaksanakan untuk tempoh lima bulan juga di kawasan Kajang.

Namun katanya, objektif projek untuk meminimumkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan gagal dicapai dan pemprosesan di kawasan 'composting' menyumbang kepada kehadiran lalat dan lipas yang boleh mendatangkan kacau ganggu kepada persekitaran.

"Oleh demikian, mengambil kira semua faktor, kerajaan negeri memutuskan kaedah pelupusan menggunakan teknologi Waste to Energy (WTE) adalah kaedah pelupusan berdaya saing dan memberi kesan jangka masa panjang yang mampan dalam menangani isu pelupusan sampah.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri pada 2016 bersetuju supaya Worldwide Holdings Berhad menerajui usaha untuk membangunkan pusat pelupusan WTE dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di Jeram, Kuala Selangor dengan kapasiti pelupusan sebanyak 3,000 tan sehari," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata demikian pada sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Jumaat.

Sze Han menjawab pertanyaan Elizabeth Wong Keat Ping (PKR - Bukit Lanjan) mengenai jumlah dan jenis projek pelupusan sisa pepejal di Selangor yang bukan berlandas kaedah tapak pelupusan sanitari dan jumlah sisa pepejal dapat dilupuskan melalui kaedah itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sze Han berkata, pada tahun 2020 pula, kerajaan negeri Selangor bersetuju agar ISWMC kedua dibangunkan oleh Worldwide Holdings Berhad di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dengan kapasiti pelupusan sebanyak 2,000 tan sehari.