5,522 anggota PDRM bertugas sepanjang tempoh PRN Sarawak

Aidi Ismail. - Foto fail Bernama
Aidi Ismail. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 5,522 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas pada hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak turut mewujudkan 47 pasukan Op Cantas di setiap daerah negeri itu dalam tempoh hari penamaan calon dan berkempen.

“Pasukan PDRM lain, yang turut berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi hari penamaan calon dan tempoh berkempen ini adalah pasukan ketenteraman awam iaitu Light Strike Force, Public Order and Riot Unit, Pasukan Pemantauan Udara serta bantuan empat unit dron dari Pasukan Gerakan Udara PDRM Kontinjen Sarawak.

“PDRM Kontinjen Sarawak menasihati calon dan parti bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan proses penamaan calon dan juga proses PRN dalam tempoh berkempen berjalan lancar dan selamat tanpa insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Akta yang akan diguna pakai PDRM ialah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Akta 342 - Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sejumlah 82 pusat penamaan calon dengan tempoh berkempen bagi kesemua calon berlangsung selama 12 hari bermula 6 Dis selepas proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 17 Disember.

SPR telah menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Disember. - Bernama

Artikel Berkaitan: