'Pernikahan ini takdir ALLAH SWT' - Nora

Datuk Nora dan Dr Rushdi Ramli yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya disatukan sebagai suami isteri malam tadi. - Gambar koleksi peribadi Datuk Nora
Datuk Nora dan Dr Rushdi Ramli yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya disatukan sebagai suami isteri malam tadi. - Gambar koleksi peribadi Datuk Nora
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebelum membuat keputusan untuk bernikah sekali lagi, penyanyi terkenal, Datuk Nora terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada golongan yang berilmu.

Nora enggan terburu-buru membuat keputusan, apa lagi memikirkan pelbagai pertimbangan harus diambil kira.

Namun, setiap nasihat dan doa yang dititipkan oleh rakan-rakan karib dan beberapa ustazah mengenai takdir yang tertulis itu membuka hati penyanyi lagu Hanya Satu itu menerima lamaran Dr Rushdi Ramli yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya.

Dan masih lagi kental di kotak fikiran Nora mengenai pesanan yang dititipkan oleh ibu kepada Allahyarham Johan Nawawi iaitu sekiranya bertemu jodoh dengan lelaki yang baik, jangan sesekali segan menolaknya.

“Allahuakbar... besar sungguh rahmat Allah. Selama ini saya serah pada Allah secara total tentang perjalanan hidup saya. Dr Rushdi hadir dalam hidup saya tanpa dirancang. Kami tidak bercinta seperti orang lain, jauh sekali keluar bertemu. Semua itu tidak berlaku.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik,” kata Nora kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Bagi penyanyi kelahiran Kelantan itu, Dr Rushdi yang juga sahabat karib suami pertamanya, Johan Nawawi sangat disenangi anak-anaknya.

Bahkan, Nora, 48, sekeluarga sering merujuk kepada Dr Rushdi, 55, tentang apa sahaja berkaitan dengan agama.

Artikel Berkaitan:

“Anak-anak juga gembira dengan adanya beliau. Bahkan, Dr Rushdi juga sangat menyayangi sahabatnya, Allahyarham Johan.

“Perjalanan ini sudah tertulis oleh ALLAH SWT. Saya berlapang dada menerima apa yang Allah takdirkan buat saya. Terima kasih buat semua yang mendoakan perkahwinan saya ini,” ujar Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin.

Sebelum itu, Nora berkongsi berita pernikahannya itu menerusi hantaran dalam laman Instagram peribadinya.

"Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi mengasihani. Sempena malam Jumaat yang juga 'sayyidul ayyam', saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat ALLAH SWT ingin memaklumkan bertemu jodoh dengan hamba ALLAH yang juga sahabat baik arwah suami, Allahyarham Johan Nawawi dari kecil lagi.

"Beliau adalah saudara Rushdi Ramli," tulis Nora dalam hantaran itu.

Nora yang mula masyhur menerusi lagu Di Persimpangan Dilema itu juga memohon maaf kerana tidak menghebahkan awal berita gembira itu.

"Dari awal lagi saya berniat mahu tidak berkongsi berita gembira ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.

"Saya berpegang kepada prinsip perkahwinan satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali mencari publisiti.

"Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia ALLAH yang ditentukan," katanya lagi.

Dalam hantaran itu, Nora juga memohon doa semua pihak agar mahligai dibina berkekalan hingga ke alam syurga.

"Saya mohon peminat dan insan yang mengenali saya menitipkan doa buat saya semoga mendapat keluarga sakinah, mawaddah dan warrahmah.

"Moga dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredai ALLAH SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah," katanya.

Nora dan Allahyarham Johan mendirikan rumah tangga pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.

Bagaimanapun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Penyanyi kesayangan ramai itu juga pernah diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun pada 13 Disember 2019. - Awani