Sempat hantar mesej mohon maaf sebelum umrah

Mesej terakhir yang dikirim Allahyarham sebelum berangkat ke Madinah, 3 Mac lalu.
Mesej terakhir yang dikirim Allahyarham sebelum berangkat ke Madinah, 3 Mac lalu.
A
A
A

IPOH - Pemergian Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa hari ini disifatkan satu kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Allahyarham memiliki semangat dakwah besar dan komited menganjurkan ceramah serta program yang menjurus ke arah menegakkan syiar Islam.

"Tidak hanya di Perak, Allahyarham turut menerima jemputan menyampaikan ceramah di seluruh negara serta terlibat dalam program kemanusiaan di merata negara.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika menyertai himpunan ummah bagi membantah tindakan penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, 1 Mac lalu. Itu kali terakhir program kami bersama sebelum beliau berangkat ke Madinah dua hari kemudian," katanya.

Menurutnya, menerusi kumpulan WhatsApp Pas Perak, Allahyarham yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Ipoh Barat sempat memohon maaf dan meminta didoakan pemergiannya kali ini diberikan kesihatan baik.

"Saya agak terkejut terima berita pemergian ini, waktu kami berjumpa di program dulu, beliau nampak sihat dan bersemangat menyampaikan ucapan," katanya.

Razman berkata, Allahyarham yang pernah menganggotai jawatankuasa Pusat ialah seorang yang konsisten dalam perjuangan parti sejak awal pembabitannya.

"Sejak berada dalam barisan Pemuda Pas, komitmen dicurahkan 100 peratus tanpa menuntut apa-apa kelebihan.

Artikel Berkaitan:

"Kuliah, tazkirah dan ceramah, semuanya dilakukan beliau dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim," katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun di Madinah pada jam 12.30 malam tadi (waktu Madinah) dan jenazah disolatkan di Masjid Nabawi dan dikebumikan di Madinah.

Beliau bersama ahli keluarganya berangkat ke Madinah pada 3 Mac lalu untuk menunaikan umrah dan menghadiri konvokesyen anak sulungnya di sebuah universiti di situ.

Pas Perak dijadualkan akan mengadakan solat Ghaib di Masjid As-Syarifah Kampung Tasek selepas solat Isyak, malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak meninggal dunia