RISDA ubah strategi usahawan

Norazni (dua dari kiri) bergambar bersama Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Shariff (tiga dari kiri) sewaktu Majlis Penyerahan RissMart Mobile pada November lalu.
Norazni (dua dari kiri) bergambar bersama Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Shariff (tiga dari kiri) sewaktu Majlis Penyerahan RissMart Mobile pada November lalu.
A
A
A

Sesuaikan model perniagaan mendepani pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR - Ancaman wabak Covid-19 telah memberi kesan secara langsung terhadap operasi perniagaan sebilangan usahawan sehinggakan ada di antaranya terjejas teruk berikutan serangan pandemik itu.

Bagi menghadapi situasi berkenaan, usahawan di bawah bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengambil pendekatan berbeza dengan menyesuaikan model perniagaan mereka mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Pengarah Urusan Heart N Art, Mohd Khairil Ibrahim berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada Mac 2020 dibuat dalam tempoh singkat dan menyebabkan ramai usahawan terkejut berikutan tidak membuat persediaan bagi menghadapi ancaman pandemik berkenaan.

"Ketika itu tidak dinafikan ramai tidak bersedia dengan serangan pandemik ini dan kami bernasib baik kerana cepat bertindak dengan bimbangan Risda bagi mengatur strategi dalam menguruskan perniagaan kami yang bertapak di Kompleks Usahawan Selandar, Melaka agar kekal relevan mengikut situasi semasa," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairil berkata, sebagai sebuah syarikat pembuatan dan percetakan baju, pihaknya perlu mengubah fokus perniagaan mereka sewaktu PKP antaranya dengan menjalinkan kolaborasi bersama Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah bagi penghasilan sut pelindungan diri (PPE).

Dengan hanya bermula secara sukarela, Mohd Khairil berkata, permintaan yang diterima bagi penghasilan PPE ketika itu semakin baik dan menyebabkan mereka turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Mohd Khairil (tiga dari kanan) membuat penyerahan PPE menerusi tempahan yang diterima pihaknya baru-baru ini.
Mohd Khairil (tiga dari kanan) membuat penyerahan PPE menerusi tempahan yang diterima pihaknya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Siapa sangka dengan hanya bermula secara sukarela, tempahan bagi penghasilan PPE selepas itu amat baik diterima oleh pihak kami.

"Sebab itulah saya beranggapan pandemik ini tidak boleh dilihat sebagai satu masalah namun setiap peniaga harus fokus untuk mencari jalan keluar agar perusahaan mereka kekal berdaya saing," katanya.

Sementara itu, seorang lagi usahawan Risda yang merupakan pemilik perusahaan Nur Alwani Spa Bahau, Norazni Md Tolah, 40, berkata, pihaknya terpaksa membatalkan semua tempahan pelanggan melibatkan pelbagai pakej yang ditawarkan sebelum ini susulan daripada pelaksanaan PKP di negara ini.

Norazni berkata, pada ketika itu, dia bersama suami reda dengan segala kemungkinan dan mengambil pendekatan untuk menukar fokus perniagaan mereka dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan dapur buat masyarakat setempat di Bahau, Negeri Sembilan.

"Sambutan yang diterima sangat baik dan bermula dari situ, kami mempelbagaikan perkhidmatan dengan menjual ikan, daging segar, lemang, air batu campur dan rojak di bawah jenama Hakak Spa," katanya.

Ujarnya, sokongan yang diterima daripada usahawan lain dan Risda sebelum ini amat membantu khususnya dalam menaikkan semangat pihaknya dalam meneruskan perniagaan yang dijalankan itu.

"Risda banyak membimbing dan memberi khidmat nasihat menerusi penganjuran kelas kepada kami para usahawan agar dapat terus cekal dan mencari penyelesaian dalam sebarang permasalahan yang dihadapi.

"Selain bantuan kewangan dan geran, Risda turut membimbing dalam menaikkan semangat usahawan mereka agar tidak mudah mengalah," katanya. Sementara itu, kedua-dua usahawan RISDA yang mendepani pandemik Covid-19 itu berkongsi pengalaman dalam Webinar yang diadakan di Ibu Pejabat RISDA dua hari yang lalu.