X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Peniaga tidak naik harga makanan

Asmirul (kiri) dan Baharudin (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada peniaga di Pasar Besar Alor Setar pada Jumaat. (Gambar kecil) : Zulkifli dan Romah.
A
A

ALOR SETAR- Peniaga kedai makan di sekitar bandar raya ini tidak menaikkan harga makanan dijual walaupun berdepan kenaikan harga barang mentah sejak sebulan lepas.

Peniaga, Romah Hashim, 62, berkata, dia masih mengekalkan harga lauk pauk seperti sebelumnya meskipun sedar tindakannya menyebabkan keuntungan diperoleh setiap hari berkurangan.

Menurut Romah, dia masih menjual sepinggan nasi lauk berlauk telur serendah RM2, nasi berlauk ikan kembung pada RM3 dan nasi berlauk ayam pada harga RM5 kepada pelanggan di kedai makannya.

"Tidak dinafikan, saya amat terkesan dengan kenaikan harga barang mentah seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan daging.

"Bagaimanapun, saya tidak naikkan harga atau kecilkan saiz hidangan walaupun untung berkurangan hingga 40 peratus," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas pemantauan harga dan sumbangan barangan keperluan asas kepada peniaga Pasar Besar Alor Setar, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Romah menjelaskan, dia kini hanya mampu mendapat untung bersih sekitar RM60 sehari hasil jualan nasi berlauk selepas ditolak modal barangan dan upah pekerja berbanding lebih RM100 sehari sebelum ini.

"Bagaimanapun, hasil jualan juga tidak menentu setiap hari menyebabkan keuntungan adakalanya amat sedikit selain terpaksa menanggung kerugian akibat kenaikan harga barang mentah," katanya.

Seorang lagi peniaga, Zulkifli Shafii, 64, berkata, dia dalam dilema apabila barang mentah yang digunakan untuk menyediakan bihun sup dan yong tau fu naik mendadak hingga membebankannya.

"Bayangkan, semua makin mahal dari daging, sayur sehinggalah bahan masakan yong tau fu dan minyak masak peket pula tiada sejak akhir-akhir ini, sememangnya memberi kesan kepada kami.

"Hendak menaikkan harga makanan takut pembeli pula terbeban, akhirnya kami terpaksa mengekalkan harga lama meskipun terpaksa menanggung kos yang makin tinggi," katanya.

Zulkifli berkata, dia mungkin terpaksa membeli barang mentah dalam kuantiti sikit dan mengecilkan kuantiti makanan bagi memastikan tidak menanggung kerugian yang besar selain menjaga pelanggannya.

Yang Dipertua Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (Gapema) Kedah, Baharudin Mohd Ali berkata, seramai 50,000 peniaga dan penjaja di Kedah didapati tidak sanggup menaikkan harga makanan walaupun terkesan dengan kenaikan harga barang mentah.

"Berdasarkan pemerhatian, antara lima hingga 10 peratus peniaga makanan sahaja yang menaikkan harga makanan mereka.

"Majoriti peniaga dan penjaja ini menjelaskan mereka masih mengekalkan harga makanan walaupun menanggung kos tinggi dan meraih keuntungan sedikit kerana tidak mahu pelanggan lari," katanya

Sehubungan itu, katanya, pihak Gapema Kedah mengambil inisiatif melaksanakan Food Bank bagi membantu penduduk khususnya peniaga yang terkesan ketika ini melalui sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!