Prestasi Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia pada 2020 baik: Mustapa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun berdepan pandemik Covid-19, Malaysia mencapai prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang baik pada 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, katanya, menurut Laporan Indikator SDG siri ketiga yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini terdapat indikator yang terjejas akibat krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia.

“Berdasarkan 146 indikator, 49 indikator (34 peratus) bertambah baik, 34 indikator (23 peratus) tidak berubah, manakala 41 indikator (28 peratus) menurun. Bakinya, 22 indikator (15 peratus) adalah indikator yang tidak boleh diukur dengan statistik,” katanya dalam kenyataan.

Mustapa berkata, antara indikator yang bertambah baik ialah kualiti udara dan air, kes jenayah menurun, penggunaan internet meningkat, peningkatan wanita dalam jawatan pengurusan dan penurunan insiden kecederaan pekerjaan yang boleh membawa maut.

Manakala, antara indikator yang merosot akibat Pandemik Covid-19 ialah kadar pertumbuhan tahunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita, bilangan penumpang di lapangan terbang serta kadar kemiskinan mutlak dan pengangguran.

SDG menjadi panduan untuk kerajaan merangka dasar bagi memastikan masa depan yang mampan merangkumi semua cabaran pembangunan dunia moden, termasuk ekonomi, sosial, dan alam sekitar.

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah memberikan kesan kepada tiga dimensi SDG iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar seterusnya memberi cabaran kepada negara dalam mencapai Agenda 2030.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 menyebabkan aktiviti ekonomi serta sosial terjejas, yang mana dalam perkhidmatan pengangkutan bilangan penumpang yang dikendalikan oleh lapangan terbang menunjukkan penurunan yang besar iaitu 75.5 peratus daripada 109.4 juta pada 2019 kepada 26.8 juta pada 2020 berikutan penutupan sempadan.

Artikel Berkaitan:

“Pandemik Covid-19 juga telah membawa perubahan gaya hidup kepada penggunaan teknologi digital dan internet berikutan norma penjarakan sosial, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

“Hal ini menyebabkan peratusan individu yang menggunakan internet telah meningkat daripada 84.2 peratus pada 2019 kepada 89.6 peratus pada 2020,” kata Mustapa.

Insiden kemiskinan mutlak juga menunjukkan peningkatan daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020, berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM2,208 sebulan, kesan daripada pandemik itu.

“Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengarusperdanakan SDG dalam perancangan pembangunan negara. Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), RMKe-12 dan Bajet 2022 telah dijajarkan kepada SDG.

“Kerjasama semua agensi kerajaan penting untuk memahami, menghayati dan melaksanakan matlamat pembangunan mampan di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. - Bernama