Lotus’s Malaysia sokong PKS tempatan

Azliza ketika berucap pada program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia di Lotus’s Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Azliza ketika berucap pada program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia di Lotus’s Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

Menerusi pelaksanaan KBBM di kesemua 62 stor pasarannya di seluruh negara

KUALA LUMPUR - Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) terus memberikan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di kesemua 62 stor pasaranya di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, kempen yang dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan pasaran lebih meluas kepada PKS-PKS terlibat.

Beliau berkata, KBBM pada tahun ini juga penting kerana ia memberikan tumpuan kepada PKS yang ketika ini sedang dalam proses membina semula perniagaan mereka selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Sebagai peruncit, kami mempunyai keyakinan terhadap keupayaan dan kualiti dimiliki PKS tempatan. Sebagai contoh, sebanyak 90 peratus daripada lebih 3,000 barangan jenama Lotus’s diperoleh dan dikilangkan oleh syarikat PKS tempatan.

“Sebagai rangkaian peruncitan terkemuka di dalam negara, Lotus’s memahami tanggungjawab kami untuk memastikan PKS tempatan yang merupakan tonggak penting pertumbuhan ekonomi dapat berkembang maju dan berdaya bertahan.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia di Lotus’s Ampang, di sini, pada Khamis.

Hadir menyempurnakan program tersebut ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Dalam pada itu, Azliza berkata, penyertaan kesemua PKS tempatan pada kempen kali ini yang bermula pada Ogos lalu itu turut melibatkan pemasaran sebanyak 800 unit simpanan stok (SKU) di kesemua pasaraya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut melahirkan penghargaan kepada PKS tempatan yang sentiasa aktif memberikan pandangan dan juga menerima idea baharu dalam memastikan mereka boleh terus bersaing dengan produk lain yang berada dalam pasaran.

Sementara itu, turut berlangung pada majlis tersebut adalah pameran Produk Citarasa Keluarga Malaysia melibatkan 16 PKS tempatan dengan 10 daripadanya adalah pembekal sedia adaLotus’s yang juga dahulunya dikenali sebagai Tesco Malaysia manakala enam daripadanya merupakan pembekal berpotensi dicalonkan KPDNHEP.

Hasnol (tengah) ketika menyempurnakan program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia bersama Azliza (kanan) di Lotus’s Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Hasnol (tengah) ketika menyempurnakan program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia bersama Azliza (kanan) di Lotus’s Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Azliza, pameran yang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 5 Disember 2021 itu bukan sahaja memberikan ruang untuk PKS terlibat bagi membuat jualan tetapi juga mempromosikan produk masing-masing.

Acara tersebut juga menyaksikan penyampaian Sijil Pelantikan Pembekal kepada 17 IKS dan PKS baharu Lotus’s Malaysia dan Anugerah Pembekal IKS dan PKS Terbaik terhadap 10 PKS di bawah syarikat tersebut.

Antara pembekal PKS terbaharu yang dilantik ialah Al Quds Livestock Sdn Bhd, Anramin Industry (M) Sdn Bhd, ASA Palm Milk, Che Nor Food Solution Sdn Bhd, CN Loyal Sdn Bhd, DNS Kacang Puteh Sdn Bhd dan Eatalian Express Food Industries Sdn Bhd.

Sementara itu, pembekal yang menerima Anugerah Pembekal Terbaik Lotus’s Malaysia antaranya ialah Jalen Distributors Sdn Bhd, Bestari Sales & Marketing Sdn Bhd, Al Meswak Mu Min Sdn Bhd, Halagel (M) Sdn Bhd dan Afy Haniff Bena & Bekal.

Cari pembekal PKS tempatan berpotensi

Mengulas lanjut, Azliza berkata, selaras membantu perkembangan PKS, Pasukan Sokongan PKS Lotus’s sentiasa mencari pembekal yang berpotensi melalui kerjasama rapat dengan agensi lain khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kerjasama sedemikian telah membantu syarikat PKS seperti Al Quds Livestock Sdn Bhd (Al Quds) untuk menjadi pembekal tunggal daging segar tempatan untuk Lotus's Malaysia.

“Sehingga kini, Al Quds membekalkan 12 SKU kepada 20 pasaraya kami, dengan potensi untuk terus berkembang kepada 50 lagi kedai pada masa hadapan,” ujarnya.

Hasnol (kiri) ketika menyampaikan sijil kepada syarikat PKS yang terpilih sebagai pembekal Lotus’Malaysia sambil disaksikan Azliza ketika program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia di Lotus’s Ampang, di sini, pada Khamis.
Hasnol (kiri) ketika menyampaikan sijil kepada syarikat PKS yang terpilih sebagai pembekal Lotus’Malaysia sambil disaksikan Azliza ketika program Pelancaran KBBM Lotus’s Malaysia di Lotus’s Ampang, di sini, pada Khamis.

Azliza berkata, Lotus’s juga telah memulakan program yang pembekalan kepada kedai runcit yang diusahakan oleh syarikat perniagaan tempatan berskala kecil dengan barangan pukal pada harga yang sangat kompetitif.

Katanya, sehingga kini, hampir 900 kedai runcit telah melanggan kemudahan tersebut dan pihaknya merancang untuk meluaskan lagi jangkauan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Azliza turut memaklumkan bahawa hampir 60 peratus daripada penyewa di pasarayanya adalah syarikat perniagaan Bumiputera.

Dalam pada itu, Azliza berkata, Lotus’s Malaysia dijangka membuka dua pasaraya baharu yang terletak di Pulai Hartamas, Ipoh, Perak dan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah pada Januari tahun hadapan.

Sementara itu, Hasnol berkata, Lotus’s Malaysia dilihat sentiasa aktif dalam merancang serta melaksanakan inisiatif bagi menyokong pelan kerajaan dalam meningkatkan jualan sektor peruncitan termasuk menerusi inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia,

Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih ramai lagi usahawan tempatan yang terlibat sebagai pembekal kepada pasaraya Lotus’s Malaysia.

“Usaha ini bukan hanya sekadar diharap dapat membuka berpotensi peluang dan ruang, malah ia juga diharap dapat membimbing pembekal dan usahawan tempatan untuk terus berjaya dalam mengembangkan pasaran sekaligus dapat mencapai nilai jualan tertinggi,” ujarnya.