X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Najib saran tingkat persediaan hadapi varian Omicron

Najib Tun Razak
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk meningkatkan penyediaan dalam sektor kesihatan sebagai langkah persediaan menghadapi penularan varian Omicron di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persediaan tersebut adalah dari segi kapasiti perubatan, ambulans, fasiliti kuarantin, stok perubatan, dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Menurutnya, lebih ramai penduduk di negara ini juga perlu diberi dos penggalak sebagai langkah pencegahan.

"Pada ketika ini, dos penggalak merupakan satu-satunya cara untuk kita lebih selamat bagi menghadapi varian Omicron.

“Saya sendiri sudah menerima dos ketiga ini dengan selamat sebulan dahulu. Tetap cergas dan sihat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia pada 2 Disember lalu melibatkan pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan.

Menurut Khairy, pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak berusia 19 tahun itu sudah menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Tambah Najib, kerajaan ketika ini telah mengambil langkah pantas untuk menyekat pelawat dari negara yang terlibat.

Jelasnya, rakyat juga tidak perlu terlalu takut sehingga lebih banyak maklumat berkenaan varian tersebut didedahkan.

“Ada juga laporan-laporan awal yang kata walaupun varian Omicron ini boleh menular dengan kadar lebih laju berbanding varian Delta tetapi mereka yang dijangkiti Omicron hanya mempunyai gejala ringan sahaja dan sembuh dengan kadar laju.

“Harap ini akan dapat disahkan komuniti perubatan dunia pada minggu-minggu mendatang,” ujarnya.

Selain itu, sekiranya angka jangkitan baharu Covid-19 meningkat semula, beliau mencadangkan agar penutupan penuh dengan lebih ketat dan singkat dilakukan antara lima hingga tujuh hari.

Jelasnya, ia perlu dilakukan di peringkat negeri yang mencatatkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi kerana tidak wajar untuk dilakukan untuk seluruh negara.

“Sebab ekonomi dan kehidupan rakyat tidak akan bertahan lagi sekiranya darurat serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak yang berbulan-bulan lamanya dilaksanakan lagi seperti di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!