KPT, Unesco bangunkan polisi iOER khusus untuk OKU

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah membangunkan polisi Inclusive Open Educational Resources (iOER) khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).Gambar hiasan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah membangunkan polisi Inclusive Open Educational Resources (iOER) khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah membangunkan polisi Inclusive Open Educational Resources (iOER) khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi Profesor Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil berkata polisi berkenaan bertujuan memudahkan golongan OKU dalam mengakses, memperoleh dan menggunakan bahan pendidikan terbuka secara dalam talian.

“Polisi ini akan menjadi satu dasar nasional yang terpakai bagi semua institusi dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran.

“Ia akan diserahkan kepada pihak UNESCO untuk diterima, dirujuk dan diadaptasi oleh negara lain,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Mahasiswa OKU 2021 secara maya, pada Jumaat.

Mohd Suzeren berkata, bagi memastikan keperluan dan kesejahteraan mahasiswa OKU diberi keutamaan, Jabatan Pendidikan Tinggi turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perangkuman Orang Kurang Upaya.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai wakil kementerian, pengurusan tertinggi institusi pengajian tinggi (IPT), pegawai perkhidmatan serta wakil komuniti OKU bagi meneliti dan membincangkan isu berbangkit termasuk berkaitan kemasukan ke IPT serta pengurusan kebajikan mahasiswa golongan tersebut.

Selain itu, Mohd Suzeren berkata satu sistem berasaskan laman sesawang iaitu Projek Kerangka Kampus Inklusif Meningkatkan Kemasukan Pelajar OKU ke Universiti Awam (MyU-OKU), juga dibangunkan bagi membantu universiti melaksanakan penilaian tahap ketersediaan institusi berkenaan dalam mewujudkan kampus inklusif yang memenuhi keperluan mahasiswa OKU.

“Ketersediaan universiti awam dinilai berasaskan instrumen untuk menerima kemasukan mahasiswa OKU berteraskan tadbir urus, pengajaran dan pembelajaran, perkhidmatan sokongan dan aksesibiliti serta ketersambungan persekitaran kampus. MyU-OKU ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“KPT sentiasa komited dan prihatin dalam memperbaharui landskap pendidikan tinggi di Malaysia agar benar-benar inklusif untuk semua. Hasrat ini mendukung nilai dan ciri-ciri diterapkan dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan aspek keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.- Bernama