Kemudahan OKU masih belum cukup

Sebagai guru muzik, status OKU tidak menghalang Mohd Huzaire untuk meraih pelbagai kejayaan.
Sebagai guru muzik, status OKU tidak menghalang Mohd Huzaire untuk meraih pelbagai kejayaan.
A
A
A

BENTONG - Kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini dilihat masih belum mencukupi dan mencapai standard ditetapkan.

Bagi Tokoh Guru Cemerlang OKU Kebangsaan 2010, Mohd Huzaire Ahmad,46, beliau melihat beberapa aspek perlu diperbaiki untuk memastikan golongan OKU dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mereka yang normal.

"Pada pendapat saya, kemudahan untuk OKU di bandar adalah lebih baik berbanding di kampung atau pekan kecil yang kemudahannya belum mencapai standard ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Anak jati Pahang kelahiran Mempatih, Lanchang itu memberitahu, dalam bidang pekerjaan pula, terdapat beberapa faktor yang menghalang majikan mengambil golongan itu bekerja di premis masing-masing.

"Bagi saya, jika golongan OKU diberikan peluang, mereka akan membuat lebih baik kerana ingin membuktikan kemampuan diri setanding dengan golongan normal.

"Selain bidang akademik, golongan OKU perlu juga menguasai bidang kemahiran contohnya seperti muzik, pertukangan agar tidak ketinggalan," jelasnya.

Kisah Mohd Huzaire yang bertugas sebagai guru muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2 pernah tular beberapa tahun lalu berikutan pengalaman dan perih jerih dialaminya yang sebelum ini normal namun bertukar status menjadi OKU pada 1999.

Tragedi jatuh pokok rambutan pada tahun tersebut menyebabkan anak sulung daripada enam beradik itu lumpuh dari paras pinggang hingga ke bawah menyebabkan beliau perlu menggunakan kerusi roda.

Artikel Berkaitan:

Mohd Huzaire yang juga Presiden Persatuan OKU Bentong berkata, kekurangan dimilikinya itu tidak menghalang untuk terus menabur bakti demi anak murid dan masyarakat selain berusaha menggapai impiannya.

Beliau yang merangkul Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kampus Temerloh tahun ini turut mencurahkan nukilannya dalam penerbitan tiga buku antalogi setakat ini.

"Tiga karya yang dihasilkan banyak berdasarkan pengalaman sendiri iaitu 'Pahit Manis di Bumi Tok Gajah', 'Cikgu Ikan Singgang dan 'Dicemuh Tidak Goyah'.

"Saya juga bakal melancarkan buku sendiri tahun depan di Festival Buku Antarabangsa Kuala Lumpur," tambahnya.

Sempena sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut setiap 3 Disember setiap tahun, Mohd Huzaire mengharapkan golongan OKU di negara ini tidak lemah semangat dan rendah diri sebaliknya terus kuat membuktikan diri selain lebih banyak OKU melakar kejayaan dalam bidang masing-masing.