Polis bantuan LDP terima Anugerah Hero Lebuh Raya

Nizam (tengah) menerima Anugerah Hero Lebuh Raya yang disampaikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri).
Nizam (tengah) menerima Anugerah Hero Lebuh Raya yang disampaikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri).
A
A
A

SUBANG JAYA – Tindakan pantas dan berani seorang polis bantuan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menahan penjenayah di Plaza Tol Puchong Selatan LDP pada Disember 2017 dihargai dan diiktiraf sebagai Hero Lebuh Raya.

Dalam Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2021 yang dianjurkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Khamis, Nizam Mohd Salleh, 54, menerima pengiktirafan Anugerah Hero Lebuh Raya atas keberanian menjalankan tanggungjawab melindungi keselamatan pengguna lebuh raya ketika bertugas.

Beliau yang telah 16 tahun berkhidmat dengan konsesi lebuh raya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) turut menerima pengiktirafan tersebut atas keberaniannya menahan seorang pemandu agresif yang bertindak menyerang pengawal keselamatan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, LDP pada tahun 2019.

Nizam yang merupakan penerima Anugerah Ketua Polis Negara pada tahun 2018 kini kudung kaki kiri kerana terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis pada Ogos lalu gembira dan terharu dengan penghargaan diberikan.

Walaupun tidak lagi terlibat dengan kerja-kerja di lapangan, beliau bersyukur masih diberi peluang dan lebih bersemangat berkongsi pengalaman, nasihat serta mendidik generasi pelapis baharu polis bantuan supaya komited berkhidmat untuk pengguna lebuh raya

“Saya gembira dan terharu kerana diberikan penghargaan seperti ini. Apa yang dilakukan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dan tugas saya.

“Saya juga reda dan bersikap positif dengan ujian yang kini menimpa saya apabila kaki kiri saya terpaksa diamputasi disebabkan komplikasi diabetes semasa saya positif Covid-19,” katanya selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anugerah Hero Lebuh Raya diberi khususnya untuk mengiktiraf jasa individu atau agensi yang mempamerkan keberanian, kecekalan dan usaha melindungi nyawa, menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan apresiasi penghargaan kepada penggiat industri lebuh raya Malaysia, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Antara tujuh kategori lain yang turut dipertandingkan adalah Anugerah Kepimpinan Lebuh Raya, Anugerah Inovasi dan Keselamatan Lebuh Raya, Anugerah Lebuh Raya Hijau, Anugerah Best Highway Brand Communication, Anugerah Pengurusan Maklumat Terbaik, Anugerah Reka Bentuk Dinamik Lebuh Raya, dan Anugerah Inovasi Teknologi Pembinaan Lebuh Raya.