X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

MTN setuju laksana moratorium kelulusan penubuhan ladang hutan

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut merupakan salah satu daripada empat kertas yang telah dibentangkan bagi menyentuh beberapa dasar penting berkaitan perhutanan dan perlombongan.

“Dalam hal ini, MTN ke-79 juga mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

“Oleh yang demikian, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau pada Khamis itu juga bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari tahun ini.

“MTN juga bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama pada tahun 2022.

“Dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, MTN turut bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dalam HSK di Semenanjung Malaysia dan supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun tahun depan.

“Dalam masa yang sama, MTN Ke-79 juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri pada 16 Februari 2021.

“Keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan-keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, majlis berkenaan dianggotai oleh 10 wakil Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kanan serta Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri atau wakil.

“Mesyuarat MTN ini diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui konsultasi (rundingan) dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara.

“Ia suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!