Saifuddin adakan lawatan rasmi dua hari ke China

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke China bermula pada Jumaat, atas undangan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan sempena lawatan itu, kedua-dua menteri akan mempengerusikan bersama mesyuarat sulung Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Kerjasama Pasca Era Covid-19, yang ditubuhkan secara rasmi pada April 2021.

“Lawatan ini menandakan hubungan erat dan kesediaan Malaysia dan China untuk mempelopori usaha pemulihan serta mempromosikan pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara selepas kesan buruk wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat tersebut akan diadakan dalam format hibrid.

Mesyuarat JPT ini adalah satu mekanisme dua hala di peringkat Menteri dan kedua-dua Menteri Luar akan membincangkan pelbagai kerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China.

Antara bidang yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, ekonomi digital, komoditi dan perniagaan pertanian, diplomasi kesihatan, diplomasi budaya, pendidikan dan pelancongan.

Kedua-dua menteri luar itu juga akan bertukar pandangan mengenai hal ehwal perkembangan serantau dan antrabangsa.

Lawatan rasmi itu akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat seperti dipersetujui kedua-dua negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: