11 pembiakan nyamuk berpontensi sebar JE

Dr Othman Warijo
Dr Othman Warijo
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex Sitiens dikesan berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE) hasil kajian entomologi oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah di lokaliti wabak di daerah Kota Setar.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, penemuan tersebut berjaya dilakukan selepas aktiviti kawalan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan JKN Kedah bermula 25 November lalu sehingga Khamis bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Menurutnya, pengesanan kes secara aktif (ACD) telah dijalankan di sekitar kawasan terlibat dan seramai 674 daripada 2,926 penduduk di kedua-dua lokaliti telah disaring dan didapati tiada penduduk yang menunjukkan gejala penyakit tersebut.

"Dalam usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, sebanyak 291 premis dalam 400 meter radius dari rumah pesakit telah diperiksa. Semasa pemeriksaan, 14 bekas pembiakan nyamuk telah ditemui dan sebanyak 672 milimeter Abate 500E BTI digunakan untuk 'larvasiding'.

"Semburan ruang termal telah dilakukan pada 25 dan 26 November 2021 meliputi 412 premis. Semburan ruang ULV juga telah dilakukan pada 25 dan 27 November 2021 meliputi 912 premis.

"Hasil kajian entomologi di lokaliti wabak telah menemui 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex sitiens yang berpotensi menyebarkan virus JE." katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Othman berkata, bilangan kes virus JE yang dilaporkan di lokaliti wabak di Kota Setar kekal dua kes setakat hari kelapan pada Khamis di mana kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

Menurutnya, siasatan juga mendapati tiada ladang penternakan khinzir berdaftar atau tidak berdaftar di sekitar lokaliti wabak hasil tinjaun menggunakan dron di sepanjang sungai berdekatan dengan lokaliti wabak.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami juga tidak menemui sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang. Di samping itu, tiada aduan penduduk mengenai kehadiran khinzir liar atau babi hutan di sekitar kedua-dua lokasi kediaman pesakit.

"Risalah promosi kesihatan telah diedarkan kepada semua penduduk yang tidak dapat ditemui dan hebahan pendidikan kesihatan menerusi kumpulan WhatsApp penduduk juga telah dilaksanakan," ujarnya.

Tambanya, promosi kesihatan menerusi hebahan awam telah dibuat untuk menasihati penduduk mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit kepala dan muntah.

"PKD Kota Setar juga telah mengedarkan makluman kepada semua hospital dan klinik swasta agar melaporkan kes-kes yang mempunyai tanda dan gejala jangkitan JE kepada PKD tersebut.

"Jabatan Perhilitan Negeri Kedah, Jabatan Veterinar Negeri Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar dan PKD Kota Setar juga telah mengenalpasti lokasi untuk penangkapan burung hijrah bagi ujian PCR virus JE," katanya lagi.

Pada 29 November lalu, media melaporkan JKN Kedah mengesahkan terdapat dua kes jangkitan "Japanese Encephalitis” (JE) dikesan di daerah Kota Setar dengan kedua-dua kes itu melibatkan kematian.

Dr Othman berkata, kes pertama dilaporkan pada 18 November lepas kemudian diikuti dengan kes kedua pada Khamis lepas (25 November) sekali gus jabatan itu mengisytiharkan wabak berkenaan di daerah terbabit pada hari sama.