32 kes positif Covid-19 libat Kluster Intan Delima 2

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 32 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kuala Pilah pada Khamis melibatkan kluster baharu iaitu kluster Intan Delima 2.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kes indeks membabitkan sebuah institusi pengajian awam.

"Setakat semalam (Khamis), 32 individu terdiri daripada pelajar dan pensyarah disahkan positif, bagaimanapun kesemuanya dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Selain itu, seramai 105 individu lagi yang merupakan kontak rapat kes dikuarantin di institusi berkenaan sementara menunggu keputusan saringan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Mohd Faizal, keadaan kes adalah terkawal malahan pihaknya melaksanakan kawalan secara pentadbiran bermula pada Khamis bagi mengelakkan penularan wabak.

"Pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi bertanggungjawab akan membuat pemantauan di lokasi dan tindakan kompuan akan dikenakan jika terdapat pihak yang ingkar," katanya.

Pada Khamis, Negeri Sembilan merekodkan pertambahan satu kluster baharu membabitkan Kluster Intan Delima 2 (Kuala Pilah) menjadikan 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di negeri tersebut.

Kesemua 11 kluster berkenaan adalah Industri Sungai Gemas, Industri Tiong, Jalan Seremban Tiga, Dataran Satria Dua, Tekir, Kepis Senaling, Jalan Putra Nilai, Jalan Bukit Rasah, Jalan Bandar Sri Serting, Intan Delima 2 dan Jalan Hutton.

Artikel Berkaitan:

Terdapat 181 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 108,958 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 sebanyak 1,277.