Dua jurujual ditahan disyaki subahat dengan penyamun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua jurujual jam ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes samun di sebuah kedai jam yang terletak di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kedai jam berkenaan disamun oleh seorang lelaki semasa kedua-dua suspek sedang bekerja di premis tersebut.

Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berkenaan memakai pelitup muka sambil membawa beg galas berwarna hitam serta dua beg plastik berwarna putih dan hijau.

"Hasil siasatan awal mendapati kali terakhir suspek (penyamun) dilihat berjalan kaki keluar menuju ke Jejantas Abdullah Hukum.

"Buat masa ini, pihak polis menjalankan tangkapan ke atas pengadu iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja di kedai tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amihizam berkata, sebanyak lapan utas jam tangan termasuk sebuah telefon pintar milik pengadu dilarikan oleh suspek dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM262,000.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi berwarna hitam beserta kad sim bagi membantu siasatan," katanya

Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman sehari.

Artikel Berkaitan: