Tiada 'gangguan' bekalan minyak masak di Perak

KPDNHEP Perak meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap rantaian bekalan minyak masak bagi memastikan bekalan ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.
KPDNHEP Perak meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap rantaian bekalan minyak masak bagi memastikan bekalan ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.
A
A
A

IPOH - Bekalan minyak masak bersubsidi di Perak mencukupi setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati, tiada berlaku gangguan bekalan minyak masak di peringkat pengeluaran mahupun pengedaran di negeri itu.

Menurutnya, Perak telah diperuntukkan kuota sebanyak 3,452 tan kepada 25 syarikat pembungkus minyak masak di beberapa daerah untuk membungkus minyak masak polibeg 1 kilogram (paket) setiap bulan.

"Kami ambil maklum isu kenaikan harga barang keperluan ketika ini dan atas faktor itu, KPDNHEP Perak telah meningkatkan pemeriksaan bekalan minyak masak di peringkat syarikat pembungkus bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi.

"Hasil pemantauan mendapati, bekalan adalah mencukupi," katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pemeriksaan ke atas syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak di sekitar Taiping, pada Khamis.

Beliau berkata, isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi sering dibangkitkan dan antara faktor berlakunya perkara itu disebabkan pembelian secara pukal dilakukan peniaga atau pengusaha makanan.

Katanya, peniaga-peniaga itu turut menggunakan minyak masak paket bagi kegunaan perniagaan sedangkan mereka tidak termasuk dalam golongan sasar bagi kegunaan keperluan isi rumah.

"Bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi ini mudah diperoleh, Pengawal Bekalan telah mengeluarkan arahan kepada semua pelesen runcit yang menjual minyak masak paket 1 kilogram supaya membuat pengawalan secara kendiri dengan mengenakan had pembelian hanya sebanyak tiga paket sahaja setiap transaksi jualan.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP Perak akan terus meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap rantaian bekalan minyak masak ini bagi memastikan bekalan ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik," katanya.

Kerajaan telah menetapkan harga maksimum runcit bagi minyak masak sawit tulen dalam botol pada harga RM29.70 bagi botol 5 kilogram, RM18.70 bagi botol 3 kilogram, RM12.70 bagi botol 2 kilogram dan RM6.70 bagi botol 1 kilogram.

Harga minyak masak bersubsidi dalam paket 1 kilogram pula ditetapkan pada harga RM2.50.

Sementara itu, Saifullizan berkata, sejak 1 Ogos hingga 1 Disember lepas, sebanyak 2,701 pemeriksaan minyak masak telah dilaksanakan di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 kes berkaitan minyak masak atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM3,036.

"Nilai kompaun sebanyak RM6,000 dikeluarkan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 6) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum," katanya.