Laporan ujian, percubaan 5G dijangka siap suku keempat

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Digital Dewan Perniagaan British Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Digital Dewan Perniagaan British Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Laporan ujian dan percubaan 5G dijangka siap dalam suku keempat tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, percubaan-percubaan itu diselaraskan oleh Suhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dari April hingga Oktober tahun ini yang mana keputusannya kelak akan dikongsikan bersama pelbagai pemegang taruh dalam Pasukan Petugas 5G, yang antaranya bertanggungjawab menyiapkan laporan itu.

Ia, kata beliau, adalah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan pelan yang menyeluruh dalam pelaksanaan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini.

"Pasukan petugas telah ditubuhkan untuk mengusulkan cadangan-cadangan yang relevan berkaitan pelaksanaan 5G. Ia mewakili kedua-dua pihak permintaan dan penawaran dari sektor swasta dan awam," kata beliau dalam ucaptamanya pada Persidangan Inovasi Digital Dewan Perniagaan Britain Malaysia di sini hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut percubaan langsung 5G telah bermula di Cyberjaya awal bulan ini yang dijalankan oleh Maxis Bhd secara kolaborasi dengan Huawei, manakala Meru, Perak akan menjadi lokasi pertama di luar Lembah Klang bagi pelaksanaan percubaan serupa.

Gobind berkata, Projek Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di bawah SKMM juga telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan perkhidmatan internet berkelajuan Gigabit di kawasan-kawasan perindustrian terpilih yang berimpak tinggi dan strategik menjelang 2020 dan di semua ibu negeri menjelang 2023.

"Ini bagi memastikan kawasan-kawasan yang mempunyai kes-kes penggunaan 5G yang tinggi telah bersedia untuk melaksanakan rangkaian apabila standard-standardnya telah dimuktamadkan," kata beliau.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan percaya akses kepada teknologi dan internet adalah hak setiap rakyat Malaysia dan bukannya satu keistimewaan, justeru, akses kepada Internet jalur lebar berkelajuan tinggi perlu diberikan keutamaan dan dianggap sama pentingnya dalam hal bekalan air dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kata Gobind, terdapat peluang besar untuk Malaysia dalam industri keselamatan siber terutama di pasaran Asean, di mana Malaysia dilihat sebagai antara tiga negara teratas dalam Asean yang dijangka menyumbangkan 75 peratus kepada pasaran perkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025.

Beliau juga berkata, perbelanjaan untuk keselamatan siber di Asean diramalkan tumbuh pada kadar 15 peratus Kadar Pertumbuhan Kompaun Tahunan (CAGR) (2015-2025), manakala peluang-peluang serantau di Asia Tenggara menunjukkan pasaran perkhidmatan keselamatan siber akan mencecah RM10 bilion menjelang 2021 pada kadar CAGR 22.28 peratus.

"Memandangkan negara sedang meluaskan tapak pembangunan ekonomi digitalnya, dan dengan kecanggihan teknologi-teknologi terbaru, kita perlu memberi pertimbangan kepada kebimbangan mengenai ancaman-ancaman dan risiko-risiko kepada keselamatan siber. Keselamatan siber ialah antara isu yang paling mendesak pada masa ini,” kata beliau.

Pada majlis itu, Gobind turut melancarkan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Ke-2 anjuran Dewan Perniagaan Britain Malaysia. - Bernama