‘Ukur poket’ sebelum pesan makanan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

HEBOH sana sini makanan harga kayangan, bermula dengan seekor ikan siakap Langkawi yang mencecah ribuan ringgit dikenakan ke atas seorang pengguna.

Benda macam ini, bukan boleh ‘mula’. Ia seakan-akan ada rentetan kes. Cuma, ada yang berani nak tularkan atau diamkan saja.

Selepas kes siakap Langkawi, tular pula kes sotong berharga RM100 untuk dua ekor di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang.

Pada hemat penulis, perkara ini berlaku apabila pelanggan sendiri tidak tahu peranan mereka ketika memilih makanan di kedai makan.

Sikap malas bertanya kerana malu atau lebih kepada jaga ‘standard’ ini, dilihat salah satu punca makan diri. Sudah makan, baru tanya harga.

Kita sebagai pengguna, ada hak untuk bertanya butiran makanan seperti harga, kuantiti atau gred (lebih kepada makanan laut) sebelum memesan makanan tersebut.

Buat apa nak malu? Apa akan jadi jika sudah makan, baru tahu harga makanan tersebut? Kalau duit banyak, tak ada hal, kalau cukup-cukup saja, macam mana?

Mulalah menggagau nak membayar, lepas tu sakit hati, tak puas hati dan kemudian masukkan gambar resit serta kapsyen luahan perasaan dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

Warganet yang tidak tahu hujung pangkal, kongsi dan meninggalkan komen yang bukan-bukan.

Dalam hal ini, tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak, baik pengguna mahu pun tuan kedai.

Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan.

Menu mewah

Kes siakap Langkawi, pemilik restoran mendakwa pelanggan yang menularkan harga ikan itu bersetuju membayar harga dikenakan pada hari kejadian, walaupun sudah diterangkan mengenai ikan segar dalam sangkar yang bersaiz besar.

Selain itu, dalam kes harga dua ekor sotong sampai RM100, rasanya semua orang sudah lama maklum, sotong, ketam dan udang adalah menu-menu orang poket tebal jika di restoran nasi kandar.

Sampai ada yang kata, jika nak tengok seseorang itu kaya atau buat-buat kaya, tengok lauk apa yang dia ambil ketika menikmati nasi kandar.

Seorang rakan penulis pernah berpesan kepada rakan-rakan, jika ke restoran nasi kandar, ambil menu selain sotong, udang atau ketam, dia akan belanja.

Terbaharu, isu sayur kailan ikan masin pula tular apabila didakwa dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pelanggan berkenaan memuat naik gambar sayur kailan ikan masin yang dibeli berserta resit pembayaran yang memaparkan harga RM18 bagi sepinggan sayur tersebut.

Tujuan tular

Pada hemat penulis, lebih baik pelanggan ini berjumpa secara terus untuk mempersoalkan harga berkenaan ketika membuat pembayaran berbanding menularkannya di media sosial.

Apa tujuan sebenar pelanggan tersebut, adakah benar ingin mempersoalkan atau ada niat lain yang kita tidak tahu?

Itu pentingnya bertanya berbanding diam, bayar dan kemudian kongsi dalam media sosial.

Rasanya jika bertanya terus pada ketika pembayaran dibuat, kekeliruan tersebut boleh diselesaikan tanpa diperbesarkan sehingga satu dunia tahu.

Pemilik restoran kemudiannya tampil membuat penjelasan berhubung isu berkenaan, juga melalui Facebook premisnya.

Memetik hantaran yang dimuat naik, pemilik itu memaklumkan bahawa terdapat dua kemungkinan yang menyebabkan kesilapan itu berlaku iaitu mungkin juruwang tersilap key in (masukkan) harga dengan hidangan bersaiz L (besar).

Kemungkinan kedua adalah, pelanggan itu memesan saiz L tetapi kru di bahagian dapur sediakan kailan itu dalam hidangan bersaiz S (kecil) berdasarkan gambar yang ditularkan.

Nampak tak di sini, jika pelanggan terus berjumpa pemilik restoran, isu ini dapat diselesaikan tanpa dipanjangkan.

Itulah yang dimaksudkan, tahu hak pelanggan selain jangan malu untuk bertanya harga.

Kita yang bayar, kita ada hak untuk bertanya. Jangan nak jaga ‘standard’ sangat lah.

* Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Pulau Pinang