Semua pasar ada harga kartel sayur sendiri ikut kawasan

Harga sayur tidak sewenang-wenangnya boleh ditetapkan oleh mana-mana peniaga sayur. Gambar kecil: Datuk Syed Abd Rahman
Harga sayur tidak sewenang-wenangnya boleh ditetapkan oleh mana-mana peniaga sayur. Gambar kecil: Datuk Syed Abd Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pasar di seluruh negara mempunyai harga kartel sendiri yang telah ditetapkan mengikut kawasan tersebut.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, harga sayur tidak sewenang-wenangnya boleh ditetapkan oleh mana-mana peniaga sayur.

“Seperti di Pasar Selayang, mereka ada kartel sendiri, ada cara kawalan harga sendiri, semua orang kena jual harga yang ditetapkan.

“Jadi peniaga kena patuh, kalau ada peniaga yang menjual di bawah daripada harga yang ditetapkan, esok berkemungkinan peniaga berkenaan tidak boleh berniaga di situ.

“Nanti peniaga lain di sana akan boikot atau mereka akan cari jalan untuk peniaga itu keluar,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) amat wajar diaplikasikan di peringkat kerajaan Persekutuan.

PKPS sebelum ini memberi jaminan harga jualan produk sayurannya kekal pada harga rendah dan berpatutan meskipun berlaku kenaikan mendadak harga produk itu di pasaran.

Perbadanan itu mempunyai mekanisme kawalan harga sendiri memandangkan ladangnya di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya mengeluarkan hasil sayuran sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini boleh dilakukan menerusi kawalan harga asas oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan mengawal harga di ladang yang mereka ambil, harga di (Pasar) Selayang serta harga di pasar raya dan pasar borong," katanya.

Syed Abd Rahman berkata, walau bagaimanapun, pelaksanaan kawalan harga tersebut perlu mempunyai pasukan penguat kuasa yang tersendiri untuk memantau harga yang ditetapkan.