Piala Dunia Remaja: Kekal semangat juang tinggi berdepan Belanda

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Perancis dalam aksi suku akhir Piala Dunia Remaja di Stadium Kalinga, Bhubaneswar.
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Perancis dalam aksi suku akhir Piala Dunia Remaja di Stadium Kalinga, Bhubaneswar.
A
A
A

KEKALAHAN besar 0-4 di tangan Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Remaja semalam, pastinya sesuatu yang pahit untuk ditelan skuad lelaki kebangsaan, namun prestasi dipamerkan barisan pemain tetap membanggakan ketua jurulatih Wallace Tan.

Wallace berkata barisan pemainnya telah menunjukkan komitmen tinggi serta menampilkan aksi positif, dengan cuba mengekang asakan Perancis biarpun dibolosi dengan jumlah jaringan agak besar di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India.

"Walaupun merupakan pertandingan pertama untuk skuad negara selepas dua tahun, pemain telah menunjukkan aksi positif biarpun tewas semalam.

"Saya bangga dengan mereka, diharapkan agar pemain kekal bersemangat menghadapi Belanda selepas ini. Semoga penyokong terus mendoakan kejayaan buat pasukan kita,” katanya dalam satu video dikongsi kepada media pada Khamis.

Malaysia bakal berdepan Belanda bagi perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Jumaat.

Wallace juga memuji usaha anak buahnya yang berjaya menutup ruang buat pasukan dari Eropah itu mencipta jaringan padang dengan kesemua gol mereka berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Wallace menjelaskan terdapat jurang pemisah antara barisan pemainnya dan pihak lawan, apabila pasukan Perancis mempunyai lapan pemain daripada skuad senior mereka yang menyertai saingan di India kali ini.

Katanya, pasukan Perancis sememangnya mempunyai persediaan rapi kerana mereka bakal menggunakan beberapa pemain yang ada ketika ini untuk mewakili skuad senior bagi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel Berkaitan:

Ini, beliau berkata sangat berbeza dengan situasi dihadapi anak buahnya yang terpaksa menjalani latihan secara maya susulan pandemik COVID-19 dan hanya sempat menjalani tempoh 18 hari latihan secara fizikal pada September lepas sebelum beraksi pada siri jelajah di United Kingdom, baru-baru ini.

Kapten Perancis Timothee Clement menjadi pemusnah bagi anak buah Wallace Tan apabila meledakan hatrik menerusi pukulan sudut penalti, masing-masing pada minit ke-14, 24 dan 60, untuk membawa pasukan ke separuh akhir buat kali kedua selepas muncul naib juara pada edisi 2013.

Skuad bimbingan Aymeric Bergamo itu menjaringkan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mathis Clement pada minit ke-31.

Malaysia yang berjaya mencapai sasaran melepasi peringkat kumpulan memulakan kempen Kumpulan A dengan menewaskan Chile 2-1 pada 24 November lepas, sebelum terikat 1-1 dengan Belgium (26 (November) dan mengalahkan Afrika Selatan 4-3 pada 27 November.