Penyediaan perumahan berdaya huni antara fokus utama KPKT

 Reezal Merican - Foto Bernama
Reezal Merican - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenal pasti dan menyusun pendekatan bagi membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19, termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal susulan pendapatan terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, antara inisiatif jangka sederhana bersifat penampan yang diambil selepas memegang porfolio itu adalah, menyediakan program Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah IKRAM.

“Lebih 1,000 unit melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) disediakan, dan sehingga kini pemohon telah ditempatkan secara berperingkat.

“Pada peringkat awal kita kenakan bayaran minima RM124 sebulan, tapi akhirnya kita berikan percuma untuk enam bulan dan akan dinilai semula untuk tempoh enam bulan akan datang,” katanya dalam program Buletin Bernama terbitan Bernama TV pada Khamis, bagi berkongsi berkenaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari.

Beliau berkata, kementerian juga fokus kepada penyediaan perumahan mampu milik berdaya huni, termasuk pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (Jendela) PPR yang memudahkan capaian Internet, yang dilihat sebagai keperluan asas masa kini termasuk sebagai platform menjana pendapatan.

Reezal Merican berkata, pihaknya juga mewujudkan ‘War Room’ bagi meneliti kaedah untuk menangani semua projek perumahan yang sakit, lewat dan terbengkalai, secara lebih berkesan dan holistik.

“Daripada 79 projek, saya menjangkakan sehingga hujung tahun ini akan berkurang kepada 75 projek,” katanya.

Mengulas mengenai usaha membantu rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah, beliau berharap pengaktifan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) mengkoordinasikan semua agensi pelaksana, dapat merealisasikan sasaran kerajaan membina 500,000 unit rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, model pembiayaan rumah bagi membantu golongan muda mendapatkan pinjaman dan deposit perumahan, juga sedang diteliti bagi menggalakkan pemilikan rumah pada usia muda. - Bernama