Kanak-kanak perlu pemeliharaan, perlindungan berkurangan pada 2020

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan daripada institusi penjagaan kanak-kanak pada tahun 2020 menurun sebanyak 8.2 peratus kepada 5,858 orang berbanding 6,382 orang pada tahun 2019, demikian menurut Statistik Kanak-kanak, Malaysia, 2021 yang dikeluarkan pada Khamis.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada tahun 2020 itu ialah 5,858 orang iaitu hanya 0.06 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia pada tahun tersebut.

"Statistik menunjukkan lebih ramai kanak-kanak perempuan memerlukan penjagaan dan perlindungan iaitu 63.3 peratus berbanding lelaki (36.7 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan statistik penduduk pada tahun 2021, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan berjumlah 9.13 juta atau 28 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia yang dianggarkan 32.7 juta orang.

Beliau berkata, bilangan kanak-kanak pada tahun 2021 itu berkurangan kira-kira 100,400 berbanding 9.23 juta yang dicatat pada tahun 2020.

Penurunan itu ketara dalam kumpulan umur 0-4 tahun iaitu 2.5 peratus atau 64,500 berikutan penurunan bilangan kelahiran hidup kepada 470,200 pada 2020 berbanding 488,000 pada tahun 2019, katanya.

Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada tahun 2021 iaitu 37.2 peratus, diikuti Terengganu (35.6 peratus) dan Kelantan (34.7 peratus), katanya.

Bagi memenuhi keperluan jagaan anak, Mohd Uzir berkata, jumlah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar meningkat 8.1 peratus kepada 5,302 pada tahun 2020, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor (1,774), diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (525) dan Perak (413).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kadar peralihan enrolmen bagi peringkat rendah ke menengah rendah menunjukkan peningkatan 0.6 mata peratus pada 2020 kepada 89.4 peratus berbanding 88.8 peratus pada tahun 2019, manakala kadar peralihan enrolmen bagi peringkat menengah rendah ke menengah atas meningkat 1.4 mata peratus kepada 97.9 peratus.

Kadar peralihan enrolmen peringkat menengah atas ke lepasan menengah pula menurun kepada 3.5 peratus berbanding 17.9 peratus pada tahun sebelumnya, disebabkan pengambilan pelajar bagi sesi Jun 2020 ditunda berikutan pandemik Covid-19, katanya. - Bernama