X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Pencemaran udara, sekolah di Delhi ditutup semula

Kelas fizikal sekolah-sekolah di New Delhi akan kekal ditutup bermula Jumaat sehingga perintah lanjut berhubung krisis kualiti udara diumumkan. - Foto Reuters
A
A

NEW DELHI - Kerajaan tempatan di ibu negara India pada Khamis berkata kelas fizikal sekolah-sekolah di New Delhi akan kekal ditutup bermula Jumaat sehingga perintah lanjut berhubung krisis kualiti udara diumumkan.

"Sekolah dibuka semula memandangkan unjuran kualiti udara akan bertambah baik. Namun, paras pencemaran udara kembali meningkat dan kami memutuskan untuk menutup sekolah dari Jumaat sehingga perintah selanjutnya," kata Menteri Alam Sekitar Delhi Gopal Rai, lapor Xinhua.

Pengumuman Rai dibuat sejurus selepas teguran daripada Mahkamah Tinggi India.

Mahkamah tertinggi itu pada Khamis memberi amaran mengenai tindakan tegas dan memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan persekutuan, New Delhi, dan negeri jiran untuk bertindak terhadap pencemaran industri dan kenderaan, yang dianggap sebagai penyumbang utama kepada kemerosotan kualiti udara di ibu negara itu.

Mahkamah juga membuat teguran kepada kerajaan Delhi berhubung pembukaan semula sekolah.

"Kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun pergi ke sekolah tetapi orang dewasa bekerja dari rumah," mahkamah dilaporkan berkata kepada kerajaan Delhi.

Selepas ditutup pada 13 November, kelas secara bersemuka di sekolah, kolej dan institusi pendidikan lain disambung semula mulai Isnin.

Kualiti udara ibu kota merosot secara mendadak bulan lalu selepas perayaan Diwali, berpunca daripada pembakaran mercun.

New Delhi merupakan antara bandar yang paling teruk tercemar di dunia.

Aktiviti perindustrian dan kenderaan menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara di bandar, serta pembinaan yang berleluasa.

Kerajaan Delhi menyalahkan pembakaran tunggul jerami di negeri jiran sehingga menyebabkan pencemaran udara di ibu kota. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan memberitahu mahkamah bahawa pembakaran tunggul jerami hanya menyumbang empat peratus kepada pencemaran udara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!