X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

NUTP bantah saringan Covid-19 di sekolah

NUTP mencadangkan agar ujian saringan Covid-19 kepada murid dijalankan sendiri oleh ibu bapa di rumah. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah pelaksanaaan ujian saringan Covid-19 kepada murid sekolah rendah pada setiap Rabu yang bermula pada Rabu lepas.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kesatuan sebaliknya mencadangkan agar ujian saringan Covid-19 kepada murid itu dijalankan sendiri oleh ibu bapa di rumah.

Beliau berkata, ia berikutan pihaknya menerima rungutan daripada para guru yang memaklumkan bahawa tindakan itu amat berbahaya dan mendatangkan risiko tinggi kepada mereka.

“Ini kerana guru tidak diberi sebarang perlindungan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), sarung tangan, pelindung muka dan sebagainya, manakala murid pula tidak mampu untuk menjalankan sendiri ujian tersebut,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Heng Suan berkata, sehari sebelum ujian, pihak sekolah boleh memaklumkan kepada ibu bapa murid yang terpilih untuk menjalankan ujian saringan di rumah dan dibekalkan kit ujian kendiri.

Katanya, ibu bapa kemudian mengemukakan keputusan ujian dengan memuat naik gambar berkenaan kepada guru kelas masing-masing.

"Jika keputusan adalah negatif, murid boleh hadir ke sekolah pada hari tersebut, tetapi jika sebaliknya murid perlu dikuarantin di rumah," katanya.

Menurut Heng Suan, cara ini dapat mengelakkan berlakunya penularan jangkitan kepada guru dan warga sekolah sehingga sekolah perlu ditutup jika ada murid yang positif Covid-19.

Beliau berkata, NUTP amat berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mengubah prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah lain.

KPM menerusi kenyataan pada 27 November lepas menetapkan pelaksanaan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menurut KPM pelaksanaan saringan bergilir untuk murid itu perlu dilaksanakan setiap Rabu, pada hari persekolahan.

KPM juga membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 ke sekolah rendah bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan mengikut tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!