Semangat baharu Harimau Malaya

Arif Aiman dipanggil bagi mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. - Foto Malaysian Football League
Arif Aiman dipanggil bagi mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. - Foto Malaysian Football League
A
A
A

PEMAIN sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi akhirnya dipanggil bagi mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura mulai 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bintang muda berusia 19 tahun itu dipanggil selepas pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan dijangka tidak sempat pulih sebelum skuad negara bertolak ke Singapura.

“Sebagai jurulatih, kita gembira kerana Arif Aiman dapat bersama skuad kali ini. Selepas perlawanan final Piala Malaysia, saya sempat berbual dengannya dan dia bersedia untuk bersama skuad kebangsaan.

“Kini kita gembira kerana Arif Aiman menjadi sebahagian daripada skuad pada kali ini, namun paling penting sekarang adalah kita kena terus fokus untuk mengharungi Piala Suzuki AFF,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, di sini, pada Khamis.

Selain Arif Aiman, seorang lagi pemain yang dipanggil adalah penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi bagi menggantikan Azri Ab Ghani yang diketepikan juga disebabkan kecederaan bahu.

Mengenai jentera tengah skuad negara, Cheng Hoe berkata, biarpun ketika ini dia hanya memiliki Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal Mahadi, namun dia masih memiliki beberapa pemain lain yang mampu menggalas tugas di posisi berkenaan.

“Kita ada Junior Eldstal, kita ada Syafiq Ahmad yang pernah beraksi di posisi tersebut.

“Bagi saya, ia adalah cabaran untuk kami barisan jurulatih setelah kehilangan beberapa tonggak utama dalam pasukan dan diharapkan selepas latihan terakhir hari ini, semua pemain berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain pertahanan, Rizal Ghazali menyifatkan jentera serangan juara bertahan, Vietnam sebagai jentera serangan paling bahaya dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF kali ini.

Justeru katanya, benteng pertahanan skuad negara perlu berdisiplin bagi mengekang asakan-asakan daripada skuad Naga Emas itu.

“Bagi saya, Vietnam, yang lain itu bukan tidak bagus tapi kita kena berusaha juga apabila berdepan mereka,” ujarnya.