X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Sembilan tahun hilang, Paiman akhirnya dijel 13 tahun

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Paiman Shakimon yang menghilangkan diri selama sembilan tahun menjalani hukuman penjara 13 tahun bermula Khamis.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Paiman, 62, yang hadir ke mahkamah menjalani hukuman penjara itu selepas beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap lelaki itu yang disabitkan atas kesalahan menipu dan memalsukan dokumen..

Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh yang telah menghilangkan diri selama sembilan tahun berjaya diberkas pihak polis.

“Tertuduh didapati telah masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia. Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sememangnya Paiman bin Shakimon,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menafikan tertuduh adalah 'Paiman Shakimon'.

Muhammad Jamil menolak penafian tertuduh itu atas alasan keputusan cap jari JPN jelas menunjukkan identiti sebenarnya.

Paiman sebelum ini, merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011 selepas dia didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu telah menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012 mahkamah mengeluarkan waran tangkap serta waran pemenjaraan juga dikeluarkan terhadapnya pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya.

Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!