X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Perak bangunkan projek hab daging halal tahun depan

Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara PPPNP dengan PPN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
A
A

IPOH - Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memulakan Projek Pembangunan Hab Daging Halal di negeri ini pada awal tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan selain memperkasakan industri penternakan, sekali gus memberi manfaat kepada golongan petani dan penternak.

Beliau berkata, projek pembangunan itu akan melibatkan perjanjian persefahaman (MoU) di antara PPPNP dengan Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

"Melalui MoU ini, RLSB dan PPN akan membekalkan lembu-lembu ternakan kepada PPPNP selaku agensi pelaksana. Ia merupakan langkah permulaan untuk menjayakan projek pembangunan Hab Daging Halal Negeri Perak yang akan dilaksanakan dan dilancarkan oleh PPPNP.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat negeri rekod kadar kemiskinan tegar paling tinggi

"Projek yang bakal dilancarkan ini juga merupakan kesinambungan usaha PPPNP melalui anak syarikatnya, Eurofresh Sdn Bhd untuk meneroka pasaran baharu melibatkan pengedaran, pembekalan dan perniagaan berasaskan daging tempatan selain produk sejuk beku termasuk daging diimport dari luar negara," katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis MoU di antara PPPNP bersama RLSB dan PPN Perak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya; Pengurus Operasi Risda Livestock Sdn Bhd dan Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Saarani berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk memberi keutamaan dalam menerajui sektor agropertanian yang menfokuskan kepada empat komponen utama iaitu perluasan ladang baharu, pelaburan strategik, pembangunan usahawan dan kebajikan sosial pada tahun 2022.

Sementara itu, Yahanis berkata, projek yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan itu akan tertumpu di dua kawasan iaitu di Lekir, Sitiawan dan Behrang, Tanjung Malim.

Buat permulaan, katanya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk memulakan projek tersebut.

Dalam perkembangan lain, Saarani menjelaskan, ukuran miskin tegar melibatkan negeri ini tidak boleh bersandarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semata-mata.

Menurutnya, faktor-faktor lain yang harus dipertimbangkan dalam menentukan tahap kemiskinan.

"Saya agak lama sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar yang menjaga orang miskin. Ia sangat subjektif. Orang yang dapat pendapatan RM2,000 duduk di Lenggong dan Gerik, dia tidak miskin. Tapi yang dapat pendapatan RM2,000 duduk di Kuala Lumpur atau Ipoh, dia miskin.

"Jadi atas ukuran itu biasanya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) membuat ukuran berdasarkan kepada PGK. Dia pukul rata sahaja bahawa orang yang berada di bawah paras kemiskinan adalah miskin.

"Kalau terikat dengan data atau PGK, itulah yang kita dapat. Maknanya nilai kemiskinan yang dia buat itu berasaskan kepada PGK bukan kepada kesejahteraan hidup. Kalau kesejahteraan hidup, ia akan berlainan," jelas beliau.

Pada Rabu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak merupakan antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia.

Bahkan, beliau berkata, empat negeri itu juga merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi berbanding negeri lain.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!