Semua syarikat berlesen dengan MOTAC boleh tawar pakej umrah

MOTAC menafikan telah mengeluarkan senarai hanya 25 syarikat mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang layak menjual pakej umrah seperti yang ditularkan. - Foto Bernama
MOTAC menafikan telah mengeluarkan senarai hanya 25 syarikat mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang layak menjual pakej umrah seperti yang ditularkan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua syarikat pengendali umrah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dibenarkan untuk menawarkan pakej umrah dan mengendalikan urusan umrah.

MOTAC dalam kenyataan pada Khamis menafikan telah mengeluarkan senarai hanya 25 syarikat mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) untuk layak menjual pakej umrah berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) seperti yang ditularkan.

“Penularan maklumat ini telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran orang awam serta syarikat pengendali umrah yang telah diiktiraf MOTAC,” jelas MOTAC berhubung tangkap layar yang tular mendakwa 25 syarikat mempunyai LKU sahaja yang layak menjual pakej umrah di negara ini.

Menurut MOTAC, sehingga 30 September lepas, terdapat 474 syarikat pengendali umrah berdaftar dengan kementerian itu.

“Kesemua syarikat berlesen ini dibenarkan untuk menawarkan pakej umrah dan mengendalikan urusan umrah...senarai tersebut boleh didapati menerusi laman web www.motac.gov.my,” menurut MOTAC.

Mengenai harga lantai RM6,900 bagi mengerjakan umrah seperti diumumkan pada 17 Oktober lepas, MOTAC memaklumkan harga yang disemak semula berikutan pandemik Covid-19 itu adalah pakej harga untuk mengerjakan ibadah umrah bagi tempoh 12 hari dan 10 malam.

“Penetapan harga ini adalah sebagai panduan umum kepada orang ramai supaya penawaran harga pakej umrah tidak terlalu tinggi atau tidak terlalu rendah. Ia juga bagi mengelakkan unsur penipuan atau berlaku penetapan harga yang tidak munasabah,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memberitahu sebarang tawaran harga pakej umrah di bawah paras harga lantai oleh syarikat berlesen adalah tidak menyalahi mana-mana akta atau peraturan yang ditetapkan MOTAC. - Bernama

Artikel Berkaitan: