Selangor setuju terima cadangan Jajaran Utara ECRL

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk menerima cadangan Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, jajaran tersebut melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

“Setelah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama-sama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November 2021 dan sekali lagi pada 24 November 2021, telah bersetuju untuk menerima cadangan Jajaran Utara ECRL dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL.

“Sehubungan itu, saya dengan rasminya memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor tiada lagi halangan bagi pelaksanaan ECRL untuk merentasi bahagian utara negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL antara MRL dan syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di sini pada Khamis.

Katanya, kerajaan negeri turut menyokong pembinaan lima buah stesen ECRL di negeri Selangor, iaitu ITT Gombak, Serendah Baru, Jalan Kastam dilaksanakan di peringkat awal manakala dua buah stesen ECRL iaitu Puncak Alam dan Kapar telah ditetapkan sebagai stesen perancangan masa depan dan bakal dibina mengikut keperluan.

Amirudin berkata, Selangor juga optimis mengenai reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan pada awal tahun 2022 dan seterusnya membolehkan permulaan kerja-kerja fizikal bagi menyempurnakan Jajaran Utara ECRL.

“Kerajaan negeri Selangor kekal positif dan peka terhadap inisiatif kerajaan Persekutuan memilih Jajaran Utara, yang antaranya dapat merancakkan kawasan Serendah sebagai lokasi penting pemindahan/pertukaran hab kargo baharu di negeri Selangor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pintasan Serendah (Serendah Bypass) dalam laluan ECRL akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan servis kargo yang kerap dihadapi KTMB semasa melintasi pusat bandar Kuala Lumpur.

“Perbelanjaan infrastruktur ECRL jajaran utara ini turut menawarkan pengurusan belanjawan serampang dua mata - pelaksanaan dua projek rel iaitu ECRL dan Pintasan Serendah pada satu harga.

“Kerajaan negeri Selangor juga menyokong Jajaran Utara berdasarkan komponen utama Projek ECRL dalam melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang berkebarangkalian lebih efektif dengan ketersambungan rel hingga ke terminal di Northport dan Westports,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor berharap Jawatankuasa Pembangunan Bersama Pulau Carey dapat ditubuhkan supaya hasrat untuk menjadikan Pulau Carey sebagai hab logistik terbesar dapat direalisasikan secepat mungkin. - Bernama