X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Undi 18: Pelan tindakan khas atasi jumlah pengundi ramai

Hasni ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Johor Pay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri Johor di Hotel Thistle di sini pada Khamis
A
A

JOHOR BAHRU - Satu pelan tindakan khas perlu dilakukan bagi mengatasi jumlah pertambahan mendadak bilangan pengundi selepas pelaksanaan usul Undi 18 dan undang-undang tubuh kerajaan negeri yang akan digubal tidak lama lagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu juga dilihat relevan kerana melibatkan tahap kecekapan dan keupayaan wakil rakyat terutama jumlah peruntukan diterima.

"Selain bersetuju untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, kita juga kena terima hakikat bahawa jumlah pengundi akan bertambah. Penambahan ini kita kena kaji impaknya terhadap kawasan yang mempunyai pengundi yang ramai.

“Kita perlu sedar apabila ramai pengundi, perkhidmatan wakil rakyat akan terjejas jika tidak berbuat sesuatu. Contohnya wakil rakyat yang mempunyai pengundi sehingga 100,000 tidak adil jika peruntukan sama dengan wakil rakyat pengundi lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Johor Pay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri Johor (JOMS) di Hotel Thistle.

November lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu turut dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini, Hasni mengumumkan satu persidangan khas akan diadakan dalam tempoh minggu pertama awal tahun depan bagi meminda had umur kelayakan calon bertanding di negeri itu daripada 21 kepada 18 tahun.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut tidak menolak kemungkinan usul persempadanan semula merupakan pilihan terbaik bagi mengatasi isu pertambahan mendadak pengundi susulan pelaksanaan Undi 18.

"Itu dulu yang kita hendak ukur dan cari jalan bagi mengatasi isu ini. Sama ada pecah sempadan sebagai satu pilihan yang mungkin merupakan jalan penyelesaian, saya tidak tolak kemungkinan itu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!