X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Mangsa tertimbus dipercayai pemandu lori sayur

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai pada Khamis. - Foto ihsan Bomba Perak.
A
A

IPOH - Polis mengesahkan terdapat seorang lelaki yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Simpang Pulai di sini pada Khamis.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, merupakan pemandu lori yang membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Keadaan mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti, sebaliknya Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hanya satu maklumat awal diterima daripada majikan mangsa dan tiada laporan lain diterima setakat ini.

Mior Faridalathrash (tengah) ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mior Faridalathrash (tengah) ketika ditemui di lokasi kejadian.

"Pihak penyelamat sedang cuba mengorek tanah di lokasi kejadian dengan menggunakan jengkaut. Bantuan jentera sama turut diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

"Kita sudah nampak bahagian kepala lori dan kita percaya bomba akan berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa terdekat.

"Keadaan mangsa belum dapat disahkan dan usaha sedang dibuat untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

Mior Faridalathrash berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga membantu membuat rondaan udara dengan menggunakan dron.

"Kita mahu melihat keadaan pergerakan tanah daripada udara. Kalau ada pergerakan, ia berbahaya kepada pasukan penyelamat.

"Setakat ini operasi berjalan lancar untuk keluarkan mangsa," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan tertimbus runtuhan tanah di jalan Cameron Highlands


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!