Harga maksimum ayam ditetapkan beberapa hari lagi

KPDNHEP akan menetapkan harga maksimum ayam di peringkat pemborong dalam masa beberapa hari lagi sebelum menetapkan harga itu di peringkat peruncit. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
KPDNHEP akan menetapkan harga maksimum ayam di peringkat pemborong dalam masa beberapa hari lagi sebelum menetapkan harga itu di peringkat peruncit. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menetapkan harga maksimum ayam di peringkat pemborong dalam masa beberapa hari lagi sebelum menetapkan harga itu di peringkat peruncit.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, libat urus bersama pihak penternak ayam telah dilaksanakan dan memberi jaminan menggunakan akta sedia ada bagi menetapkan harga di kedua-dua peringkat itu.

“...dengan kepastian di harga ladang itu, (ia) sudah kita selesaikan bersama mereka, jadi dalam masa beberapa hari ini kita akan gunakan akta, kita tegas untuk letakkan harga maksimum di peringkat borong, kemudian barulah di peringkat peruncit untuk membantu peniaga-peniaga ini juga,” katanya ketika menjawab usul Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada Rabu, Persekutuan Persatuan Penternak-penternak Malaysia (FLFAM) memberi komitmen untuk mengekalkan harga ayam dan telur sepanjang Disember ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan harga ayam dan telur melonjak disebabkan peningkatan kos pengeluaran yang dihadapi penternak.

Sementara itu, Alexander berkata, kementerian amat prihatin dengan nasib peniaga yang terkesan dengan kenaikan harga di peringkat borong sehingga menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barang yang dijual kepada pengguna.

“Janganlah cakap kita menganiaya peniaga dan penjaja kecil, dalam jawapan saya kepada Yang Berhormat Bagan (Lim Guan Eng), jelas, sebab tu kita tidak tergesa-gesa untuk menetapkan harga maksimum selain di luar musim perayaan. Sebab kita tahu mereka kini terkesan sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita jamin akan pertimbangkan semua pihak, pengguna dan peniaga,” katanya.

Salahuddin sebelum itu berkata, usul itu dibawa selepas menerima surat rayuan supaya harga barangan dapat diturunkan daripada seorang peniaga kecil, Syamsuri Mohd Zain di pekarangan Parlimen untuk diserahkan kepada KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini perlu disegerakan kerana isu kenaikan harga barang asas secara mendadak seperti yang dilaporkan oleh akhbar rasmi dan saya juga telah mendengar banyak rintihan dan aduan daripada orang ramai.

“Ia juga melibatkan kepentingan orang ramai memandangkan kenaikan harga barang asas tanpa kawalan ini menjejaskan kos sara hidup dan memberi tekanan bukan sahaja kepada pengguna bahkan kepada golongan peniaga kecil,” katanya.

Usul itu turut dibahaskan oleh Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu). - Bernama