Rayuan kes SRC: Najib fail permohonan kemuka bukti baharu

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan tersebut pada Rabu melalui Tetuan Shafee & Co, hanya seminggu sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuannya yang dijadualkan pada 8 Disember.

Menerusi notis usul yang diperoleh media, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib berkata, permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Najib, 68, mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan berkenaan.

Najib berkata, beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 November lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura.

“Dinyatakan bahawa, kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib mendakwa Tawfiq dan dua anak lelakinya iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz telah menandatangani akuan berkanun yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik benefisial akaun CEIL dan AS$15.4 juta telah dihantar dan dipersetujui kepada permohonan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) supaya ia dipindahkan ke akaun 1MDB.

Dana itu dikatakan daripada Iron Rhapsody Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands yang dikendalikan oleh Tawfiq dan seorang anak lelakinya.

Afidavit Najib menyatakan bahawa antara 2008 dan 2009, Iron Rhapsody menerima AS$16.219 juta daripada syarikat-syarikat milik Jho Low hasil daripada Nota Jangka Sederhana Islam 1MDB sebanyak RM5 bilion yang dijual pada 2009.

Najib mendakwa bahawa pada 20 Januari 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

“Beberapa e-mel susulan turut dihantar dan dibalas. Akhirnya, pada 24 Mac tahun ini, peguam saya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam saya. Di sebalik usaha di atas, saya tidak dapat mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 November tahun ini.

"Saya benar-benar percaya bahawa bukti yang telah ditemui dan disahkan secara boleh dipercayai mendedahkan keterlibatan Zeti dalam rancangan Jho Low. Saya percaya bahawa peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada amaran atau isu luar aturan ditimbulkan mengenai perkara berkaitan urus niaga dalam akaun saya antara 2011 dan 2015 dan seterusnya menyediakan cara untuk Jho Low melakukan manipulasinya," kata Najib.

Oleh itu, beliau memohon Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan ini sebelum menyampaikan keputusannya.

Pada 23 November, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Disember.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. - Bernama