Warga emas lemas ketika jaring ikan

Mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi dia memasang jaring di Kampung Tengah, Gemencheh pada malam Rabu.- Foto ihsam bomba
Mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi dia memasang jaring di Kampung Tengah, Gemencheh pada malam Rabu.- Foto ihsam bomba
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki warga emas yang keluar menjaring ikan ditemukan lemas selepas tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh di sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Ahmad Sudin, 87, ditemui tersangkut di dahan pokok tidak jauh dari lokasinya memasang jaring.

Mangsa dikatakan telah pergi memancing di sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5 petang, namun tidak pulang menjelang malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat jam 8.30 malam.

"Cucu warga emas berkenaan telah menghubungi bomba memaklumkan datuknya yang keluar rumah kira-kira jam 5 petang masih tidak pulang.

"Operasi mencari mangsa dilakukan. Dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan terhadap mangsa, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada cucu mangsa, lelaki terbabit dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa telah dihantar Hospital Tampin untuk tindakan lanjut," kata beliau.