Gelombang kedua pencemaran kimia: 106 mangsa jalani rawatan

Majoriti kes baharu melibatkan pelajar SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih.
Majoriti kes baharu melibatkan pelajar SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor mengesahkan gelombang kedua pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang mengakibatkan 106 orang dirawat di klinik dan hospital.

Pengarah Kesihatannya, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata majoriti kes baharu melibatkan pelajar SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih. Ini menjadikan kes keseluruhan sejak kejadian 7 Mac lalu seramai 207 orang.

"Sehingga jam 11 malam tadi, 29 orang telah dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut manakala 77 orang mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di mana 35 orang telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dengan 4 orang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Jumlah terkini pesakit yang masih berada di HSI adalah 44 orang yang terdiri daripada 11 dewasa dan 33 murid sekolah. Seramai enam pesakit sedang mendapat rawatan di ICU dan 38 lagi pesakit di wad biasa," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan pihak sekolah dan penduduk setempat agar mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada, sesak nafas dan disyaki terhidu atau terdedah kepada bahan kimia tersebut.

"Gunakan air terawat untuk aktiviti harian, kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena pada anggota badan.

"Elak melakukan sebarang aktiviti termasuk aktiviti riadah berdekatan kawasan Sg Kim Kim, Pasir Gudang sehingga arahan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan: