X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

KTMB rai Hari OKU dengan tiga hari tambang percuma

KTMB menawarkan tambang percuma selama tiga hari untuk golongan OKU yang menggunakan KTM komuter sektor Lembah Klang dan Utara bermula esok. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma selama tiga hari untuk golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan KTM komuter sektor Lembah Klang dan Utara bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin dalam kenyataan berkata, inisiatif itu merupakan tanggungjawab sosial korporat KTMB kepada golongan itu bersempena sambutan Hari OKU Sedunia.

“Pengurusan KTMB berbesar hati menjadikan program khas itu sebagai program tahunan yang akan diadakan pada 16 September dan 3 Disember setiap tahun. Ini sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan sasar itu atas sokongan mereka,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi kenyataan sama berkata, inisiatif itu selari dengan semangat Keluarga Malaysia yang membela dan menghargai segenap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan sesiapa.

“Setiap ahli keluarga Malaysia akan sentiasa diberi perhatian khusus oleh kerajaan tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Golongan OKU hanya perlu mempamerkan kad rasmi OKU yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat berserta kad pengenalan di kaunter tiket.

Setiap seorang pengiring OKU juga boleh menikmati tawaran percuma tersebut.

Sebelum ini, golongan itu yang menggunakan perkhidmatan KTM komuter sekitar Lembah Klang, Utara dan KTM Intercity Shuttle Timuran menerima inisiatif MyRail5 yang menawarkan pas perjalanan bulanan tanpa had selama 30 hari dengan harga RM5.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut menawarkan tambang percuma selama sembilan hari kepada golongan OKU berserta pengiring bermula Sabtu ini hingga 12 Disember.

Antara perkhidmatan yang terlibat ialah Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, dan Bas Rapid Transit Laluan Sunway.

“Pengguna OKU hanya perlu mempamerkan kad OKU manakala MyKad bagi pengiring di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Rapid KL.

“Dengan mewujudkan kemudahan fasiliti yang lengkap untuk golongan tersebut, Prasarana berharap usaha ini dapat menggalakkan peningkatan jumlah pengguna dalam kalangan OKU,” menurut kenyataan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!