Himpunan LGBT: Akta Perhimpunan Aman akan dipinda

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, susulan tindakan tidak sensitif dan melanggar norma yang dilakukan dalam penganjuran perhimpunan haram golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di ibu kota sempena Women’s March, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, salah satu akta yang akan dibentang dalam Dewan Rakyat nanti ialah pindaan Akta Perhimpunan Aman.

Katanya, dalam tempoh ini KDN masih di peringkat kajian terhadap akta tersebut dan ia belum boleh diumumkan.

"Seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin maksud beliau ialah perhimpunan tersebut tidak ada notis. Sewaktu notis itu dipohon penganjur langsung tidak memaklumkan ia perhimpunan LGBT, kalau sebut tentunya KDN tidak akan benarkan.

ARTIKEL BERKAITAN:

NGO Islam desak polis segera ambil tindakan

Jakim tolak sebarang usaha iktiraf LGBT

"Kita benarkan perhimpunan wanita tapi mereka salah guna, cuba kamu bayangkan mereka angkat sepanduk LGBT.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kena sensitif lah kepada kita orang Malaysia. Kita di Malaysia sebagai negara multiracial, agama rasmi agama Islam... Khususnya kepada orang Melayu benda-benda seumpama ini sensitif. Jadi sensitiviti itu kenalah dipertimbangkan," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, KDN pada awalnya mengalu-alukan Perhimpunan Wanita (Womens March) namun, tidak sangka ia dicemari dengan golongan LGBT ini.

"Bila ianya diambil kesempatan, oleh kumpulan ini untuk berhimpun untuk LGBT. Mereka patut fikir sensitiviti seperti ini dalam negara kita, ia cukup sensitif," kata Aziz.

Pada 9 Mac lalu, beberapa badan bukan kerajaan, antaranya Women’s Aid Organisation (WAO) dan Sisters In Islam (SIS) selain penyokong LGBT dilaporkan menyertai perhimpunan tersebut yang kemudiannya menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak.

Antara perkara dituntut kumpulan terbabit pada perhimpunan itu ialah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan tindakan segelintir pihak menggunakan sambutan Hari Wanita untuk mempertahankan hak golongan LGBT sebagai menyalahgunakan ruang demokrasi.