X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

MPN cadang tubuh Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang

Muhyiddin
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN ketika ini telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi menangani isu kenaikan harga barang.

“Jawatankuasa Tindakan Khas itu diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang.

“Saya juga berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

"Datuk Seri Ronald Kiandee, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MPN juga katanya turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini.

Langkah ini dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

“Saya berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

“Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar,” katanya lagi. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!