Kes buli: Hishammuddin gesa beri maklumat segera

Perkongsian Hishammuddin di laman Facebooknya pada Khamis.
Perkongsian Hishammuddin di laman Facebooknya pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa individu yang mendakwa adiknya dibuli di sebuah kem tentera, tampil memberikan maklumat supaya siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dapat dibuat.

Menerusi perkongsian beliau di laman Facebooknya pada Khamis, Hishammuddin berkata, identiti individu (pemberi maklumat) berkenaan juga akan dilindungi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan tersebut benar.

"Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM (mesej terus) butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

"Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan, jika sahih, tindakan tegas akan diambil. Timbalan Menteri juga telah diarah untuk meneliti perkara tersebut secara peribadi," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar mesej seorang individu yang dimuat naik melalui Twitter @pedoqpop, mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior.

Menerusi mesej itu, individu berkenaan turut mendakwa gaji dan wang simpanan adiknya habis kerana terpaksa membeli barangan keperluan untuk 12 hingga 14 anggota senior di kem tersebut.

Selain itu, mangsa juga dikatakan takut untuk membuat aduan kepada pihak atasan kerana kes seperti itu sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawat selama 45 minit sahaja.

Individu itu mendakwa sudah membuat laporan polis, namun dinasihatkan supaya membuat aduan kepada pihak kem terlebih dahulu dan kini bimbang dengan keselamatan adiknya yang mungkin menerima nasib sama seperti penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain. - Bernama

Artikel Berkaitan: