Kelantan peruntuk RM20 juta bantu peniaga IKS terjejas Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi membantu peniaga-peniaga industri kecil sederhana (IKS) di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 sejak tahun lalu sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, peruntukan itu membabitkan 480 buah syarikat termasuk IKS.

Menurutnya, bantuan yang diberikan termasuklah dalam bentuk kewangan, pengecualian bayaran sewa premis dan bantuan peralatan premis.

“Menerusi pakej rangsangan ekonomi Kelantan pada 2020, sebanyak RM4.32 juta diperuntukkan untuk membantu premis-premis di bawah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkepentingan negeri dengan pengecualian bayaran sewa premis selama dua bulan.

“Bagi tahun 2021 pula, kita telah membelanjakan sebanyak RM170,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan peruntukan bernilai RM7.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu-Ayer Lanas) pada Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.

Mustapa sebelum itu mengemukakan soalan mengenai apakah bantuan yang disediakan kerajaan Kelantan khususnya bagi peniaga kecil pasca Covid-19 dan berapa ramai peniaga yang telah bangkit semula menerusi bantuan yang diberikan.

Mengulas lanjut, Hanifa yang juga ADUN Pengkalan Pasir berkata, untuk kawasan DUN pula, bantuan secara terus diberikan melibatkan jumlah antara RM500 sehingga RM2,000 dan disalurkan kepada peniaga IKS di kawasan DUN masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah peruntukan disediakan, hampir 70 peratus peniaga IKS yang terkesan telah berjaya dibantu dan kerajaan negeri menjangkakan pada April 2022 ia akan mencapai jumlah 100 peratus.