Perak tunggu laporan pelajar MRSM positif Covid-19

Ahmad Saidi (berdiri di kiri) bersama penerima ketika program Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 di Kuala Kurau pada Khamis.
Ahmad Saidi (berdiri di kiri) bersama penerima ketika program Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 di Kuala Kurau pada Khamis.
A
A
A

KUALA KURAU - Kerajaan negeri Perak sedang menunggu laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif Covid-19.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya akan meminta Bahagian Pengurusan Jabatan Kesihatan Perak, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi mendapatkan laporan berkenaan perkara tersebut.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang laporan terperinci dan jawapan tepat daripada agensi berkaitan berhubung perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 6 pelajar MRSM Sultan Azlan Shah positif Covid-19

"Sudah pasti KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan sekolah dan asrama sekolah berkenaan sebagai kawasan bebas Covid-19.

"Menerusi lawatan kerja dan kunjungan ke sekolah ini sebelum ini, saya sendiri memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kita bagaimanapun sangat berpuas hati dengan SOP ditetapkan dan pematuhannya," katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini pada Khamis.

Beliau berkata, SOP serta ketetapan dilakukan KPM dan KKM itu bertujuan untuk memastikan keselamatan pelajar yang sudah memulakan sesi persekolahan mereka.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah kuota penerima bantuan mahasiswa dari 2,000 kepada 4,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu meringankan beban penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin, B40 dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.