PKM DUN Jabi buat laporan polis berhubung penemuan audit

Azman - Foto Bernama
Azman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi sudah membuat laporan polis susulan Laporan Ketua Audit Negara berhubung tuntutan palsu yang dibuat pusat berkenaan pada 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, laporan polis dibuat pada September lalu agar kes pemalsuan dokumen tuntutan berkenaan disiasat pihak berkuasa.

“Pegawai yang terlibat menguruskan dokumen tuntutan perbelanjaan tersebut telah meletakkan jawatan.

“Tiada kompromi dalam soal integriti dan urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kita bersifat terbuka dan tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Azman berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan awal selepas dimaklumkan mengenai penemuan audit dalam Laporan Ketua Audit Negara berkaitan PKM DUN Jabi tahun 2019.

Beliau berkata, tuntutan perbelanjaan PKM DUN Jabi telah dibayar oleh Pejabat Daerah Besut ke dalam akaun pusat khidmat berkenaan tanpa melibatkan mana-mana akaun individu.

Menurutnya, lebihan tuntutan berjumlah RM11,900 juga telah dibayar balik kepada Pejabat Daerah Besut.

“Fakta ini kami serahkan untuk siasatan pihak polis. Terima kasih Jabatan Audit Negara yang menjadi semak dan imbang kepada kerajaan untuk mendapat sistem pentadbiran telus dan berintegriti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 sebelum ini mendedahkan, PKM DUN Jabi didapati membuat tuntutan palsu kepada Pejabat Daerah Besut pada tahun 2019.

Menurut laporan itu, semakan audit terhadap baucar bayaran mendapati wujud kesan pindaan pada dokumen sokongan yang dilampirkan bersama tiga tuntutan bayaran oleh pusat khidmat tersebut.