X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Jumlah kerusi DUN Selangor mungkin ditambah

Sidang DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor. Gambar kecil: Ng Sze Han
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditambah susulan peningkatan jumlah pengundi berumur 18 hingga 20 tahun mengikut Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, peningkatan penduduk itu juga disebabkan migrasi dari negeri lain ke negeri itu untuk mencari peluang pekerjaan.

Menurutnya, kali terakhir bilangan kerusi DUN ditambah pada tahun 2003 sewaktu proses persempadanan semula dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

“Sebanyak lapan kerusi ditambah iaitu daripada 48 kerusi kepada 56 kawasan di seluruh negeri Selangor.

“Umum juga mengetahui proses persempadanan semula telah berlangsung di seluruh negara pada 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Mac tahun sama,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunku, Lim Li Wei mengenai cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Selangor.

Jelasnya, Perkara 113 (2) menetapkan bahawa setiap kajian semula kawasan pilihan raya hendaklah dilakukan tidak kurang daripada lapan tahun.

“Setiap kajian yang dijalankan juga hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak lebih dua tahun dari tarikh bermulanya kajian tersebut.

“Kerajaan negeri fokus terhadap aspek kesekataan jumlah pengundi di setiap kawasan bagi mengelakkan berlaku ‘malapportionment’ atau pun ketidaksekataan yang akan mengakibatkan nilai undi di satu kawasan tidak setanding dengan kawasan yang lain,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!